Monday, July 28, 2008

Tuhan, manusia dan peristiwa

Alhamdulillah ; Segala Puji Bagi Allah! Satu kalimah pendek dan ringan di lidah tapi jarang terpancul berbanding ayat-ayat jelek yang selalu menjadi zikir. Umpat, keji, mencarut dan bohong macam dah terpahat di lidah, moga Allah mengampuni dosa-dosa kita.

Agak lama jari tidak mengetuk keyboard buatan china ni. Sebenarnya banyak perkara berlaku melibatkan aku, manusia lain dan alam sepanjang jari ini bercuti. Bercuti bukan dek malas tapi banyak masalah-masalah ringan yang berjaya dikumpul dengan baik sekali dan akhirnya hampir pecah serebrum dibuatnya.

Masalah menginsafi kita sebagai manusia yang tidak bersifat seperti Tuhan Yang Maha Sempurna. Masalah juga mengheret kita kepada Tuhan dan ada juga yang pergi kepada setan. Bergantung kepada iman dan faham kita samada perlu mencari bimbingan Tuhan atau setan yang menyesatkan. Dan kebanyakan manusia memilih jalan yang sesat kerana segalanya diperindahkan oleh syaitan supaya jalan yang manusia ambil itu tampak indah dan enak. Dan manusia yang dibimbing Tuhannya akan sentiasa memilih jalan yang betul walaupun pahit, berliku-liku dan jauh perjalanannya. Itulah janji Allah kepada mereka yang sentiasa menghubungkan diri mereka kepada-Nya mengikut apa yang termaktub di dalam Kalam-Nya dan Sunnah Rasul-Nya.

Tuhan, manusia dan peristiwa. Itulah yang berlaku sebenarnya. Temuduga jawatan pensyarah politeknik, harga minyak melambung, kenduri Huda di Dungun, Program Sifat Solat Nabi di UNIKL, ayah datang dari kampung, cukai jalan mati, Program tajhiz janazah, kes liwat Anwar, Mubahalah, debat Anwar dengan Sabry dan terbaru muzakarah PAS dan UMNO. Ini di antara perkara-perkara yang berlaku sejak jari ini bercuti. Ada yang sangat bermanfaat, menginsafkan dan ada juga yang buat aku resah, gelisah dan menyampah. Semuanya bermain-main di kepala dan menyebabkan tiga uban dah tumbuh di kepala.

Jujur aku katakan sekarang ini kami sekeluarga menghadapi krisis kewangan yang agak teruk. Jualan jeli agak perlahan. Mungkin kurang Research and development dan faktor hujan yang membuat orang ramai lebih suka menelan apa sahaja yang panas-panas. Gaji ummu widad pula dipotong dua bulan dek kerana cuti bersalin yang lepas masih lagi dalam status ‘tidak sah jawatan’ dan perlu diselesaikan sebelum Disember dengan potongan yang agak tinggi setiap bulan.

Temuduga masih belum ada jawapan. Harga minyak yang naik melambung juga menyebabkan aku bataskan pergerakan sehingga kenduri Huda ( sepupu ) pun tak mampu nak pergi. Hanya kirim hadiah melalui sepupu. Hadiah itu pun sebenarnya diimport daripada koleksi hadiah kami yang berhabuk di bawah katil. Bukan sekadar duit minyak, duit poket dan belanja makan kami bertiga pun cukup-cukup sahaja. Alhamdulillah dalam keadaan ‘kering’ pun masih ada sisa-sisa kekuatan untuk menghadiri Program Sifat Solat Nabi di UNIKL. Banyak ilmu yang dapat dimanfaatkan dan dipanjang-panjangkan. Ada makan percuma lagi. Apatah lagi kedatangan aku bersama-sama panel program yang dijemput khas dari Jabatan Mufti Perlis, Ustaz Khairil Anwar. Selang beberapa hari ayah secara mengejut datang ke Melaka. Katanya nak minta khidmat nasihat tentang masalah geran rumah dan tanah kami yang masih belum selesai sehingga sekarang. Alang-alang boleh ayah tengok Widad sekali. Sejak dilahirkan belum lagi dijenguk keluarga dari Terengganu.

Rumah kami di Bukit Besi sudah selesai dibayar tapi masih belum dapat geran yang sah. Begitu juga dengan tanah kami yang sekangkang kera di Kampung Dendang. Cuma kes tanah ini berbeza sedikit sebab ayah tidak puas hati dengan bayaran pampasan Projek Lebuhraya Pantai Timur dan beberapa isu ‘melayuwiyat’ yang berkaitan dengannya. Sebenarnya masalah ini dah lama. Cuma ayah seorang sahaja yang kepanasan. Pian, ma dan abang Kor dah lama tarik diri dalam kes ini sebab dah tak tahan dengan amukan ayah ke Jabatan Tanah, KETENGAH, rumah YB, rumah Dato’, rumah JKKK, rumah Ketua UMNO dan hampir juga ke istana Sultan. Hampir semua orang di Bukit Besi terasa bahang amukan ayah. Mungkin kerana sudah letih mengamuk di sana, ayah buat keputusan menulis surat kepada Pak Lah dan Anwar Ibrahim! Aku nasihatkan ayah supaya bersabar atas ujian Allah ini. Dan batalkan sahaja rancangan untuk jumpa Pak Lah dan Anwar di Pulau Pinang. Begitulah rancangan ayah. Dapatkan nasihat anak di Melaka yang ala-ala lawyer ni dan terus ke P.Pinang jumpa Pak Lah dan Anwar. Aku cuba batalkan rancangan ayah ini dan nasihatkan ayah supaya buat laporan Polis dan aku taipkan surat aduan ke Badan Pencegah Rasuah Terengganu. Idea ini pun aku curi daripada aksi-aksi orang politik di sekeliling kita yang asyik gila menyaman orang. Akhirnya ayah setuju dan pulang ke Bukit Besi setelah seminggu di Melaka. Walaupun kami tengah pokai dan makan bercatu, alhamdulillah ayah selesa, gembira dan kenyang. Selamat Hari Ayah!!

Begitulah kehidupan. Semuanya disusun Tuhan. Manusia kadang kala lupa akan kuasa Tuhan. Walaupun setiap hari menyembah Tuhan tetapi masih mencari dan mengharap sesama manusia. Ada masalah, terlintas fulan bin fulan yang akan memberi harapan. Adakah kita hanya melantik Allah sebagai Tuhan di dalam solat sahaja? Tetapi kehidupan kita bergantung penuh kepada fulan bin fulan yang hanya hamba-Nya yang tidak mampu membuat apa-apa pun walapun mengenyit mata tanpa izin-Nya. Doalah pada Allah, merayu dan merintihlah kepada-Nya dahulu. Langkah seterusnya barulah berusaha sesama manusia. Itupun dengan tawakal yang penuh kepada-Nya dan bukan kepada hamba-Nya yang lemah.

Aku masih seorang manusia yang sentiasa diperhati Tuhan. Aku mengerti dan sentiasa insafi bahawa masih ada lagi insan yang lebih berat diuji Tuhan. Aku juga selalu memohon bimbingan-Nya supaya sentiasa kekal dalam iman dan dimurahkan rezeki.
Begitulah yang berlaku. Tuhan, manusia dan peristiwa

Thursday, May 15, 2008

Aku..

"Ya Allah, sesungguhnya pada pagi ini aku bersaksi di hadapan-Mu, di hadapan para malaikat penjunjung Arsy-Mu, para malaikat-Mu ( yang lain ) serta seluruh makhluk ciptaan-Mu bahawa Engkau adalah Allah, tidak ada yang berhak diibadahi secara benar melainkan Engkau semata, tidak ada sekutu bagi-Mu dan bahawasanya Muhammad adalah hamba dan Rasul-Mu" ( Abu Dawud IV / 317 )

Pagi ini agak dingin. Mungkin semalam hujan. Tapi bukan mungkin lagi sebab aku sedar malam tadi hujan. Rasa macam nak demam. Tapi bukan macam lagi sebab memang dah demam. Tengkuk rasa pedih setiap kali air liur ditelan.

Segala rutin awal pagi berjalan lancar dan tiba2 perutku terasa pedih. Akhirnya kepedihan itu membawa aku ke sebuah warung yang selalu kujeling2 setiap kali aku membeli petrol di stesen minyak yang ada WiFi itu. Pernah dulu aku pusing2 di taman belakang stesen itu dengan harapan dapat menyewa rumah sambil berinternet percuma tapi telah penuh ditempah budak2 kolej yang lebih suka mengadap motorsikal dan anak dara daripada berinternet. Sekarang kami menyewa di kawasan medan ikan bakar tapi haram tak pernah bau ikan yang sedap itu masuk ke rumah kami. Bau babi dari Jalan Bemban jugak yang selalu datang tanpa diundang lebih2 lagi selepas hujan. Sepatutnya jangkauan bau babi yang busuk dan luas ini diproses sebagai jalur lebar internet tanpa wayar percuma!

Lupakan hal babi tadi. Roti telur dan roti kosong serta dua gelas teh berbuih sudah siap terhidang. Bukan santapan untuk seorang tetapi bersama isteri tercinta. Di saat begini, aku teringat sabda Nabi SAW supaya solat Dhuha dua rakaat di waktu anak unta merasa kepanasan pagi. Selesai makan kami bergegas ke masjid. Bukan untuk Dhuha tapi untuk "hajat" yang lain. Hajat disebabkan pedih!dunia oh dunia..bermula pedih berakhir pun pedih jugak!

Pagi ini aku jelajah ke sekolah2 sekitar Merlimau. Bukan untuk taklimat amal jariah atau jual jeli kelapa tetapi untuk memohon tugas sebagai guru ganti. Setiap sekolah yang sempat dirisik pagi ini kebanyakan ada masalah yang sama. Pengetua tak ada! Kalaulah aku tahu awal2 lagi aku minta borang "Pengetua Ganti" di PPD!

Alhamdulillah, sebuah sekolah menengah yang dihubungi menyatakan persetujuan untuk menerima khidmat aku sebagai guru ganti tetapi masih menunggu MC guru yang mengandung tersebut. Cerita pasal guru mengandung ni teringat pulak masa sekolah menengah dulu. Punyalah jahat mulut salah seorang kawan, dia boleh cop seorang guru perempuan sebagai "mesin beranak"! mana tidaknya, setiap kali berselisih atau berucap atau masuk kelas asyik bawa perut yang berisi. Selepas cuti bersalin berisi balik. Setiap tahun dia pasti mengandung. Seolah2 tak pernah lihat dia dalam keadaan kempis. Hebat bukan? Ya Allah ampunilah kami, ibubapa kami dan guru2 kami..

Jam di telefon bimbit menunjukkan 1530. Selesai menghabiskan nasi ayam dan air laici aku bergegas ke toko buku Nasir dan solat Zohor berjemaah bersamanya. Selesai solat, bekas pekerja Nasir bernama Fina datang bersama kawannya. Fina selalu SMS aku tentang masalah saka yang selalu mengganggu dirinya. Sebelum ini pernah aku fotokopi beberapa doa pilihan dalam hisnul muslim dan Nasir hadiahkan sebuah ma'thurat untuk diamalkannya moga2 cepat pulih. Aku percaya Allah akan kabulkan orang yang berdoa dengan doa kekasih-Nya. Itu surat cinta yang terbaik untuk bercinta dengan Tuhan. Bukan dengan surat cinta karangan manusia yang kebanyakannya diambil dari Mujarobat dan tajul Muluk! Aku nasihat supaya dia terus bersabar dan bulatkan tawakal pada Allah. Jangan buat hal2 syirik walaupun ia pesan ayah dan bonda. Masalah yang lebih besar lagi bekas gurunya yang bersungguh2 minta dia khadamkan saka laknat itu. Gurunya ini tidaklah alim sangat cuma lebailah perwatakannya. Aku pernah bertawassul dengan Fina untuk SMS dengan gurunya. Bagiku, gurunya memang lebai malang yang suka menafsir al-Quran dan Hadis menggunakan kepala lutut. Hadis riwayat Muslim pun didakwa mawdhu'. Gurunya meminta Fina melakukan ibadah tertentu sehingga bertemu seorang syeikh dalam mimpi yang akan menyatakan syarat seterusnya dan akhirnya akan menyebabkan saka itu dapat dikawal dan dianugerahkan kemahiran untuk berubat. Aku yakinkan Fina supaya jangan sesekali percaya pada kahin itu dan istiqomah mengamalkan zikir2 yang ma'thur. Sebelum Fina beredar pulang, Nasir hadiahkan dia CD audio surah al-Baqarah untuk dipasang di rumahnya.

Sore ini kelihatan sebuah lori 3 ton di perkarangan rumah kak Zaimah, jiran rumahku. Baru aku teringat bahwa dia akan berpindah ke Shah Alam hari ini. Kak Zaimah kelulusan MA dalam bidang disigner yang masih belum berkahwin itu kelihatan sibuk memberi arahan kepada dua kelindan lori tersebut. Selesai solat Asar aku turut membantunya mengangkut barang2nya ke dalam lori. Aku berseloroh minta diberikan barang2 yang tidak mahu dibawa ke rumah baru diberikan kepada kami. Seperti biasa selorohku yang ikhlas ini selalu sampai ke hati dan hasilnya aku dapat sebuah locker, langsir, meja kecil, sebiji tayar, paip getah dan 'kuda'. Yang lucunya aku yang tak tahu langsir dalam bahasa inggeris buat bodoh je bila dia tanya "nak curtaint tak?" bila dia cakap curtaint ni kena basuh dulu baru aku faham yang dimaksudkannya adalah langsir! Sebiji tayar dunlop baru itu aku bercadang untuk menjualnya kepada Abang Yah dengan harga yang tinggi dan 'kuda' empat kaki itu adalah sejenis kerusi yang tidak ada penyandar. Kak Zaimah "ore klate"..

Selesai solat maghrib demamku datang lagi. Tapi malam ini tak boleh lepak2 depan TV sebab isteriku ada buat kelas ganti malam ini. Kami bawa Widad bersama. Aku bermain2 dan mandi embun bersama Widad di bawah cahaya bulan. Sekejap saja aku skodeng budak2 politek buat presentation dan dah jemu. Itu bukan presentation tapi membaca nota sambil berdiri di depan kelas. Sama seperti beberapa pelajar2 muslimat di UTM dulu. Membaca teks dan mensyarah teks dengan membaca teks asal tanpa sebarang huraian. Cuma nada sahaja yang berbeza. Tapi kalau subjek lughah arabiyyah hebat pulak presentationnya! Tapi kami pelajar muslimin tetap maintain zuhud dan.warak. Betul kata2 Ust Abbas ( salah seorang pensyarah ) "pelajar lelaki aliim2 Cuma bodoh jawab periksa!!"

Selesai kelas, kami makan di restoran berdekatan. Malam ini aku tak jadi buat jeli kerana lupa stok gula dab container dah habis..Sebelum tidur aku terfikir-fikir ejaan yang betul bagi perkataan langsir dalam Bahasa Inggeris...Zzzzz

Friday, May 9, 2008

NARGIS, DAWI DAN JAPIM

Hari ini saya pakai pakaian semalam. Baju John Master putih berlengan pendek, slack "Giant" dan khuf tauliah pegawai kadet. Jangan risau sebab masih wangi dan masih tak berkedut banyak. Tujuan hanya satu iaitu tunjuk muka kat PPD untuk dapat sedikit petua untuk jadi ustaz berlesen semula..

Kerani perempuan di kaunter buat muka menyampah je bila tengok muka slumber ni masuk. Pedulikan!! saya bukan nak pinjam duit atau jual barang. ni soal masa depan! Sebenarnya sebelum ni saya pernah datang menanyakan kes saya yang lama. Dia kata tak dapat nak tolong. Semalam saya telefon dia untuk dapatkan nasihat secara teknikal untuk dapatkan semula posting, bincang dengan Hj Dawi katanya. Hj Dawi pergi baca Yaasin di Bukit Beruang, jam 9 baru balik katanya. saya minta nombor HP Hj Dawi dan berjalan kaki pekena roti prata di warung berdekatan.

Sejam berlalu, saya cuba telefon Hj Dawi buat kali ke 3 dan masih suara perempuan yang menjawab manja. Bukan isteri Hj Dawi tapi operator yang mesra. Agaknya dia tutup HP supaya boleh baca Yaasin dengan kusyuk. Kenapa ramai kaum muslimin tidak membaca Surah al-Kahfi di hari Jumaat? sedangkan ia jelas diberitahu nabi SAW tentang fadhilatnya dibaca di hari Jumaat..kalau saya cakap kat Hj Dawi, mesti saya dikatakan WAHABI!!

Setelah bosan berlegar-legar macam orang yang keretanya hilang, saya bergegas ke SMK Ayer Keroh jumpa sahabat lama; Abe. Sahabat lama di UTM dulu kini mengajar di situ. hari ini dia pakai baju melayu lengkap, berjambang panjang dan bersongkok. Dia senyum2 dan pelawa ke pejabatnya. Agak besar pejabatnya sebab bilik tu setor buku teks!! beberapa cikgu dari sekolah lain pun ada di situ, sekolah kami buku tak cukup katanya. Seorang cikgu lelaki dari SDARY minta stok buku Tamil pula. Katanya guru2 dan ibubapa pelajar2 keling dah bising dan akan adakan demo di sekolah. Geng Hindraf lah tu!! bahaya jugak. Nanti tak boleh jual jeli lagi di situ..

lebih kurang setengah jam di setor Abe, saya minta diri sebab dia pun sibuk layan cikgu2 yang datang tu. sempat jugak beritahu Abe tentang permohonan pensyarah Politeknik melalui on-line. Sebab isteri bersama anaknya di bertugas sebagai guru jQaf di Taiping sekarang. Mungkin itu salah satu jalan Abe utk bertukar ke sana.

Hj Dawi masih belum on HPnya..saya cuba call terus JAPIM di KL tapi masih keadaan yang sama. tiada sesiapa menjawab. tak kan tahlil sampai tengahari kot? mungkin buat tahlil utk mangsa taufan Nargis di Burma.

Tiba2 wife mesej ajak makan bersama. Duit tak ada nak beli makan sebab semalam dah bagi kat abg katanya. Selepas makan wife nak lepak di Nursery dengan Widad sementara saya solat Jumaat. Masjid penuh dengan kadet2 Polis bersamping lengkap. Masing2 nampak hangit dan berbau tengik. ASSALAMUALAIKUM ENCIK!! sapa seorang kadet di tepi bilik wudhuk. Kemudian dua tiga orang lagi memberi salam sambil tegakkan badan. agaknya diaorang ingat saya ni pegawai depa kot hehe.Bagus2!! Pujian kepada PDRM kerana melahirkan kadet2 yang menghidupkan sunnah menyebarkan salam.

Selepas Jumaat masih keadaan yang sama..HP Hj Dawi masih off dan telefon pejabat JAPIM masih tiada yang menjawab. depa ni berpakat nak pekena ustaz degil ni kot. mungkin Hj Dawi terlena dan pejabat JAPIM di KL terkena taufan sesat Nargis kot!!

"Ya Allah permudahkanlah urusan hamba-Mu ini.."

Thursday, May 8, 2008

Muqaddimah

Bismillahirrahmaanirrahim

Hari ini 8 Mei 2008 jam 1600 petang lahirlah blog AbuWidad sempena nama anak saya yang pertama ( dengan nada bangga..) Hari ini rutin harian berjalan seperti biasa..cuma tak sempat bersarapan di rumah. Hantar isteri dan anak ke politeknik Merlimau. Si isteri mengajar dan si anak belajar; belajar bersendiri bersama makcik-makcik dan kawan-kawan. Syukur ada nursery di tempat ibu bekerja. Si ibu mudah menjenguk dan si anak mudah meneguk dan si ayah mudah menangguk.