Saturday, August 29, 2009

KISAH SAYA BERSAMA AL QURAN


Di bulan yang mulia ini, saya berazam untuk khatam bacaan al-Quran. Satu ibadah mulia yang tidak pernah saya berjaya laksanakannya kecuali ketika saya dalam proses menduduki peperiksaan SPM pada tahun 1999 sempat juga saya khatam bacaan al-Quran dengan merangkak-rangkak dan bersusah payah.

Sejarah pembelajaran al-Quran saya begitu menyedihkan. Bermula di Pekan Ajil ketika itu berumur 6 tahun berguru al-Quran dengan Pak Imam bersama Abang Pian. Terlalu nakal dan banyak main-main sehingga tidak dapat menguasai al-Quran dengan baik. Main sorok-sorok, bergaduh, berebut rehal dan jadi mangsa buli budak-budak besar lebih dominan ketika itu. Yang saya dapat adalah percaya kepada kawan-kawan yang mengatakan gambarajah ‘pengacip’ berbentuk mulut dan bergigi serta berlidah di dalam halaman pendahuluan al-Quran itu adalah alatan yang akan digunakan oleh malaikat untuk memotong lidah sesiapa yang suka berbohong di dunia. Setelah sekian lama, barulah tahu bahawa gambar itu sebenarnya adalah gambarajah sebutan makhraj huruf-huruf hijaaiyyah di dalam membaca al-Quran. Cis tak guna punya kawan-kawan rupanya penipu!

Setelah pak imam meninggal, ayah menghantar kami ke rumah seorang nenek yang mengajar al-Quran. Rumahnya terletak betul-betul di belakang kilang perabot rotan. Abang Pian pula selalu bergaduh dengan cucunya dan kami selalu digertak dengan rotan nenek yang barangkali di’supply’ oleh cucunya.

Di tadika pula, saya tidak dapat pendedahan tentang ilmu-ilmu al-Quran kerana sibuk menyanyi, melukis dan menghafal pantun. Jadi, hantarlah anak-anak anda ke tadika KEMAS supaya bernasib malang seperti saya!

Setelah berpindah ke Batu Enam, kami belajar mengaji dengan ma ( emak ) dan ayah di surau. Ketika itu beberapa orang anak kakitangan Jabatan Perhutanan turut serta mengaji bersama-sama kami. Biasalah, bila belajar dengan ma dan ayah kami jadi tak bersungguh. Asyik mengaji cepat-cepat kerana takut terlepas rancangan kartun di TV dan sekali sekala menjadi ‘hantu’ mengusik anak-anak jiran yang sentiasa takut melalui jirat Cina di belakang kuartes.

Saya bersekolah di SK Tok Jiring ketika itu. Di sekolah saya memang takut subjek Pendidikan Islam terutama ketika diminta membaca al-Quran. Dalam masa yang sama saya buta jawi. Pernah saya didenda dengan teruk kerana membaca doa qunut yang ditulis dalam tulisan roman kerana tak boleh membaca dalam tulisan arab. Subjek yang paling teruk keputusannya adalah pendidikan Islam.

Setelah 2 tahun, kami berpindah ke Panji Alam. Di situ kami belajar mengaji al-Quran dengan seorang ustaz berhampiran rumah kami. Ramai kanak-kanak yang sebaya kami belajar mengaji dengannya. Entah di mana silapnya, abang Pian sering diejek dengan panggilan ’kepala besar’ oleh budak-budak nakal di situ. Akhirnya kesabarannya hilang dan pulang ke rumah mengambil badik ( sejenis senjata melayu lama seperti keris ) kepunyaan ayah dan mengamuk di rumah ustaz tersebut. Semua orang menjadi kelam kabut. Ada yang terjun dari beranda dan ada yang berasak masuk ke rumah ustaz. Saya hanya duduk dan memerhatikan apa yang berlaku seperti wartawan perang. Sejak peristiwa itu, kami terus bertukar guru mengaji.

Akhirnya seorang nenek yang mengajar al-Quran dapat dikesan di hujung kampung di tepi sebuah padang. Kami berdua pun mengaji di situ walaupun tidak selesa dengan angsa-angsa nenek tersebut yang seolah-olah selalu membuat pakatan menyudu kaki kami. Bila musim hujan pula, rumah nenek tersebut akan banjir dan kami terpaksa mengharungi air banjir paras peha untuk pergi mengaji. Jodoh kami tak lama, kami berpindah pula ke Dungun.

Semasa di Dungun, saya hanya belajar mengaji dengan ma. Pada waktu ini, saya sudah mula mengenal huruf dan boleh membaca al-Quran serta menulis jawi. Setelah itu, kami berpindah pula ke Bukit Besi. Di sinilah saya mula dapat membaca al-Quran dengan agak lancar tetapi masih lemah dalam tajwid. Saya berguru dengan seorang pakcik dan seterusnya dengan seorang kakak.

Akhirnya saya tamat sekolah rendah dan masuk ke sekolah menengah serta tinggal di asrama. Di asrama SMK Durian Mas inilah, saya terdedah kepada bacaan Yaasin setiap malam Jumaat. Saya hairan dan kagum melihat kawan-kawan membaca Yaasin dengan lancar dan ada juga yang menghafalnya. Setelah beberapa ketika, saya juga boleh membaca Yaasin dengan lancar. Dalam masa yang sama, saya suka menghafal surah-surah yang ada ’fadhilat-fadhilat’ tertentu dan doa-doa. Sebab itulah saya selalu dipilih menjadi imam kerana menghafal surah dan doa-doa yang panjang.

Saya cuba mendalami ilmu tajwid dan menyertai beberapa pertandingan menghafal al-Quran mewakili sekolah. Ketika ini saya masih merangkak membaca al-Quran tetapi lancar membaca surah-surah yang dihafal. Walaupun belum khatam membaca al-Quran, saya menyertai Majlis Khatam al-Quran yang diadakan di Bukit Besi anjuran UMNO. Saya masih ingat ADUN Bukit Besi, YB Ust Awang Jabar berucap :

” Lebih baik tuan-tuan baca al-Quran daripada buang masa baca HARAKAH..!”

Pada waktu tersebut, saya mendapat sijil tapi masih belum khatam al-Quran. Akhirnya saya bertekad membaca al-Quran sehingga khatam dan alhamdulillah berjaya sebelum menduduki peperiksaan SPM.

Selepas tamat sekolah menengah, saya berhijrah ke Melaka dan tinggal bersama abang Yah. Ketika itu saya masih ingat saya menghadiri temuduga kerja sebagai operator di Kilang Komputer LIKOM. Waktu itu adalah bulan Ramadhan. Saya bekerja bersungguh-sungguh untuk mengumpul duit. Masuk kerja pukul 7.00 pagi sehingga 5.00 petang. Buat OT sampai 7.00 pagi dan masuk kerja semula pukul 3.00 petang. Waktu ini memang tak kesempatan membaca al-Quran. Cuma saya kagum melihat pekerja-pekerja dari Bangladesh yang selalu mengisi masa lapang mereka dengan membaca al-Quran. Pada hujung minggu pula, saya dan abang Yah biasanya pergi memancing atau menghadiri seminar AMWAY. Begitulah berlalu hampir 8 bulan tanpa berdamping dengan al-Quran.

Di universiti pula, mujurlah di antara subjek wajib jabatan ialah al-Quran wal hifzuh di mana subjek ini memerlukan saya menghafal surah-surah tertentu dan kemahiran menulis ayat-ayat al-Quran. Alhamdulillah subjek ini diwajibkan untuk 2 semester dan banyak manfaat daripada subjek ini. Tetapi saya agak janggal dengan cara pensyarah yang meminta kami ’tasmi’ di dalam kelas di hadapan pelajar muslimah. Tetapi pelajar muslimah di bilik pensyarah. Malu dan bimbang juga sekiranya tersasul semasa tasmi’ boleh jatuh saham kami hehehe!

Saya menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan semasa di universiti. Penyertaan saya ini memerlukan komitmen penuh dan tidak sempat untuk mengambil manfaat daripada program-program lain yang dijalankan seperti kelas tahfiz al-Quran atau kelas tajwid oleh JIM. Semasa usrah PKPIM pun sempatlah juga tasmi’ bacaan bersama rakan-rakan.

4 tahun berlalu dan saya berjaya menamatkan pengajian dan mendapat segulung ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan Pengajian Islam. Sijil yang melayakkan seseorang dipanggil ’ustaz’. Tetapi agak malang kerana ilmu al-Quran dan ilmu-ilmu lain masih belum mantap.

Kesedaran menuntut ilmu dan mendalami teks-teks agama mula timbul setelah tamat pengajian di universiti. Saya mengambil keputusan menolak penempatan sebagai guru agama di sekolah menengah dan meneruskan perjuangan yang masih samar-samar. Bekerja sebagai perunding YPEIM yang agak lumayan komisen dan masa lapangnya membuatkan kami beruntung dapat mengisinya dengan majlis-majlis ilmu. Semangat saya untuk mendalami ilmu-ilmu al-Quran dan Hadis terus meningkat apabila kami mengikuti pengajian ilmu-ilmu Islam di Institut Ibnu Qayyim.

Di sinilah bermulanya semangat beramal dengan ilmu. Mengikuti kuliah kitab-kitab mu’tabar secara talaqqi seperti Riyadh as-Sholihin karya Imam Nawawi, Shahih Bukhari, Shahih Muslim, Muwatta’ Imam Malik dan sebagainya. Saya merasa diri begitu kerdil sebagai pemegang ijazah agama tetapi masih belum dapat menguasai ilmu-ilmu Islam dengan baik. Di sini, saya dapat berkenalan dengan beberapa orang profesional yang berazam tinggi belajar agama. Di antara mereka ada yang menyambung pelajaran ke Yaman dan Jordan walaupun tidak pernah belajar di sekolah agama. Saya yang mengambil subjek bahasa arab selama 9 tahun pun masih bodoh bahasa Arab.

Setelah berumahtangga, saya masih belum dapat menunaikan impian saya iaitu menghafal keseluruh ayat-ayat al-Quran. Lebih malang lagi, ayat-ayat yang telah dihafal pun beransur-ansur hilang. Hambatan tugas, kerja dan komitmen kerjaya serta keluarga menyebabkan banyak masa tidak dapat digunakan untuk menghafal al-Quran. Saya selalu berdoa agar diberi kekuatan untuk menghafal ayat-ayat Allah. Bermunajat supaya Allah mengukir kalam-Nya di dalam hati dan tidak pernah lupa bacaannya. Semoga amanah besar itu dapat menghalang kita dari dosa dan noda.

”Ya Allah di bulan Ramadhan ini moga Engkau jadikan aku, isteriku dan anakku generasi al-Quran dan pelaksananya..amin”

Menurut Abdullah bin ’Amru r.a, nabi s.a.w telah bersabda :

”Dikatakan kepada pembaca dan pengamal isi al-Quran: Baca dan perbaikilah serta tartilkan lagi bacaan kamu ( di dalam syurga ini ) sebagaimana kamu membacanyadengan baik di dunia dahulu. Sesungguhnya kedudukan kamu bergantung kepada bilangan ayat terakhir yang kamu baca ( dan amalkan ).”
( Hadis Hasan Sahih Riwayat Abu Daud )

Daripada Aishah r.a, Nabi s.a.w telah bersabda :

“Perumpamaan orang yang membaca al-Quran dan menjaga tajwid serta beramal dengan isi kandungannya akan bersama safaratil kiram al-bararah. Manakala perumpamaan orang yang membaca al-Quran dan bersungguh-sungguh walaupun menghadapi kesukaran baginya dua ganjaran.” ( HR Bukari )

Menurut Abdullah bin Mas’ud r.a, Nabi s.a.w telah bersabda :

“Seburuk-buruk perkara ialah seseorang berkata : aku telah lupa ayat itu dan ini sedangkan sebenarnya dia telah dilupakan. Oleh itu, berusaha keraslah untuk mengingati al-quran kerana ia lebih cepat terlepas lari ( lupa ) daripada diri kamu berbanding binatang ternakan ( terlepas ).” ( Muttafaqun alaihi )

Tuesday, August 25, 2009

Catatan 5 Ramadhan


Masak?

Hari ini sudah masuk hari ke 5 kami berpuasa. semuanya istimewa walau sederhana. berbuka di rumah sahaja menikmati masakan ummu widad. macam-macam resepi dari 'kitab kuning' dicubanya untuk kami bertiga. Alhamdulillah berselera juga walaupun masakan tanpa nama. Rasanya boleh juga diberi nama masakan campak2 rasa hehe..

Saya memang minat memasak. Dulu semasa habis SPM, saya bekerja di LIKOM Melaka dan tinggal bersama abang Yah yang ketika itu isterinya tinggal di Terengganu. masa inilah saya mengasah bakat memasak. dibimbing oleh abang Mail ( Mail Kerbau ) salah seorang jiran dan kawan baik abang Yah sejak di IKM lagi. Dia memang pakar dalam memasak. semasa di UTM pula, saya masuk pertandingan memasak di peringkat kolej dan mengalahkan berbelas peserta perempuan dengan masakan 'Mee Sup Cendawan Cina'..pertandingan anjuran Indo Mee dan Petronas itu memang lumayan hadiahnya sehingga seminggu baru habis dibelasah hampernya.

Tapi..sekarang rasa malas sungguh nak memasak. mungkin kepala terlalu banyak fikir tentang perkara lain jadi kurang mood nak pegang periuk dan senduk.

Apa ni..?

Hari ini agak mengejutkan..pihak PMM mencalonkan beberapa staf bahagian akademik dan sokongan akademik untuk diundi secara online sebagai Best Of Employee. Terkejut beruk tengok nama sendiri dicalonkan dan mendapat undian tertinggi setakat ini iaitu hampir 30 %!!

Malu rasanya..jasa tak banyak, onar ada sikit-sikit tapi dapat pencalonan dan undian pula. terpulanglah, yang penting ini bukan matlamat saya. Matlamat saya sampaikan ilmu kepada semua warga PMM dan ajak mereka kembali menghayati al-Quran dan as-sunnah.

Wallahu a'lam

Saturday, August 22, 2009

Ahlan wa Sahlan Ya Romadhon


Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda : ”Setiap amal anak Adam dilipatgandakan, kebaikan diganjari sepuluh kali ganda yang sepadan dengannya hingga sampai seratus kali ganda, bahkan hingga sampai kepada apa yang Allah kehendaki. Allah Azza wa Jalla berfirman : kecuali puasa, karena sesungguhnya puasa itu untukku dan Aku sendirilah yang akan membalasnya. Ia meninggalkan syahwat dan makannya hanya karena Aku. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, yaitu kegembiraan tatkala ia berbuka dan kegembiraan tatkala ia bertemu dengan Rabb-nya. Sungguh bau mulut seorang yang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi Alloh dibandingkan harumnya kesturi.” [muttafaq ’alaihi]

Begitulah sabda Rasulullah saw sebagai berita gembira kepada seluruh kaum muslimin agar benar-benar bersyukur dan menghargai Ramadhan pada setiap tahun. Ramadhan bertemu Ramadhan, begitulah kisah saya di Melaka. Melapor diri sebagai pensyarah pada Ramadhan 1429 dan kini telah tiba Ramadhan 1430..alhamdulillah..

Saya berharap Ramadhan kali ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk beribadah dan beramal soleh. Sebelum ini, pernah saya menempuh Ramadhan sebagai peniaga pasar malam dan pengurus kiosk Strawberry Chocolate di Seremban. Tidak dapat dinafikan betapa sibuknya sepanjang hari menempuh Ramadhan dengan kerja-kerja dan tugas-tugas yang tidak sedikit masa dan tenaga diperlukan untuk menyempurnakannya. Waktu itu, ummu Widad sedang mengandung anak sulung dan lebih banyak menghabiskan masa sepanjang hari sehingga malam di Flat Seroja.

Semoga Ramadhan tahun ini lebih bermakna..

Semalam saya bertarawikh di Bangunan CNI Batu Berendam bersama sahabat-sahabat IBH dan jawatankuasa Tahfiz. Saya melaungkan azan kemudian kami diimamkan oleh Ustaz Minghat dan seterusnya melaksanakan tarawikh 8 rakaat dengan 2 salam. Seterusnya kami meneruskan mesyuarat jawatankuasa tahfiz sehingga pukul 1200 malam.

Sebelum Ramadhan tiba, saya menerima sms dari adik di Terengganu bahawa Ayah Ngah telah meninggal di Hospital Dungun. Ayah Ngah selama ini mengidap penyakit jantung dan kencing manis sering kali keluar dan masuk hospital. Banyak kenangan saya bersama Ayah Ngah. beliau seorang guru bahasa Inggeris, lemah lembut dan suka berjenaka. Semasa saya kecil, selalu saya menghabiskan masa cuti sekolah di rumahnya. Berkawan dengan anak-anaknya dan menolongnya mengecat kipas atau apa-apa sahaja tugas khas yang sememangnya dipakari oleh anak-anak Pak Long ( gelaran ayah saya). Jika ada kelapangan, beliau selalu mengajar saya perkataan-perkataan bahasa Inggeris, salah satu perkataan yang saya masih ingat dan kali pertama mengetahuinya melalui beliau ialah perkataan "catwalk".. Allah lebih sayang kepadanya dan semoga Allah menempatkan beliau bersama-sama hambanya yang soleh.

Amin..

Monday, June 15, 2009

Hijrah


Alhamdulillah..

Sejak saya kecil sampai sekarang, hidup kami sekeluarga sentiasa berpindah randah. Ayah bekerja sebagai Pegawai Perhutanan Negeri Terengganu sentiasa diarahkan berpindah dari satu post ke post yang lain. Sebab itulah saya ramai kawan dan boleh berbangga dengan senarai sekolah rendah yang bersusun.

Daripada Pekan Ajil - Batu Enam ( 1989 SK Tok Jiring ) - Panji Alam ( 1990 SK Seri Budiman ) - Nibong Stesen ( 1991 SK Bandar Dungun ) - Bukit Besi ( 1994 SK Bukit Besi ). Sehingga semasa Darjah 6 saya sendiri datang sendiri mendaftar untuk diri sendiri ke SK Bukit Besi.

Semasa belajar di UTM, saya hanya dua kali berpindah dari Kolej Siswa Desa Skudai ( KSDS - Kolej Luar ) ke Kolej Tun Razak di dalam kampus utama. Setelah tamat pengajian dan bertekad menolak tawaran mengajar di SMK Tedong Melaka, saya bersama sahabat-sahabat menyewa di rumah kedai di Taman Universiti. di situlah rumah dan di situlah juga pejabat operasi Taklimat YPEIM di Johor. Setelah banyak masalah yang timbul, kami menyewa di rumah Ust Arief Rosman di Taman Pulai. Rumah yang besar dan selesa untuk tiga orang bujang.

Setelah kami mendapat 'tender' untuk menjalankan projek YPEIM di Kedah, kami berpindah ke Alor Setar dan menyewa sebuah rumah di Jalan Pegawai. alhamdulillah kenangan di sinilah paling manis dan banyak 'tragedi tanpa berdarah' berlaku yang mengeratkan hubungan sesama kami. setelah mendapat banyak temujanji di selatan Kedah dan utara Pulau Pinang, kami berpecah dua dan saya bersama Riduan, Razi dan Wan Deris berpindah dan menyewa di Sungai Petani. Tuan rumah yang sentiasa datang memaksa kami membayar sewa di pertengahan bulan seolah-olah takut kami lari menyebabkan kami lari sungguh ke rumah baru. menyewa di rumah baru agak selesa walaupun agak kekok dengan jiran yang seolah-olah buat kami macam 'kadam'. tolong hantar anak ke pasar malam, pinjam rumah untuk saudara mara jemputan majlis kahwin sehingga hampir hancur rumah dan banyak lagi 'gangguan-gangguan' terhadap anak teruna yang baik hati ini.

Setelah Projek YPeim agak slow, kami menceburi bidang yang agak asing bagi kami iaitu mengurus kiosk Strawberry Chocolate di Tesco Penang. Projek ini diperkenalkan oleh GMR Food & Beverages di KL. Oleh kerana sentiasa keletihan mengurus kiosk dari 9pg-11mlm dan menempuh jalan pergi dan pulang sejauh 100km menyebabkan saya dan Riduan mengambil keputusan berpindah ke sebuah apartment di belakang USM. Tajudin dan Anam masih meneruskan sisa-sisa projek YPEIM yang ada. Setelah beberapa bulan, kiosk baru dibuka di Jusco Seremban 2. Saya berpindah ke Seremban kerana diberi amanah untuk menguruskan segala projek GMR di Negeri Minang itu. lagipun agak dekat dengan isteri yang masih menuntut di UTM Skudai. GMR Delight didaftarkan di Seremban.

Kami menyewa di Taman Alamanda, Senawang. setelah isteri saya menamatkan pengajian, saya berpindah ke Apartment Seroja dengan sewa RM200 sebulan. di sinilah bermulanya kehidupan kami berdua. selama ini sewa dibayar oleh GMR dan sekarang barulah terasa bayar sewa guna gaji sendiri. Tidak lama kami di situ, isteri mendapat penempatan mengajar di Politeknik Merlimau, Melaka.

Isteri berpindah ke sebuah rumah taman di Seri Pulai dengan sewa RM150. Tinggal bersama pensyarah yang sama sekelas di UTM. saya risau juga kerana isteri tengah mengandung ketika itu. Setelah berbincang dengan Anam dan Tajudin, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke Melaka dan meletak jawatan sebagai Pengurus GMR Delight. Di Melaka, kami tinggal buat sementara di Taman Seri Pulai dan berpindah ke Taman Seri Serkam dengan sewa RM230 sebulan.

akhirnya kami membuat keputusan membeli rumah di Taman Muhibbah fasa 10 semi D di Merlimau dan pada 30 May 2009 kami dengan rasminya berpindah ke rumah kami sendiri setelah letih berpindah randah sepanjang hidup. moga di sinilah bermulanya segala kebaikan dan dari sini juga lahirnya pembela-pembela ajaran Quran dan sunnah. Semoga rumah ini menjadi pusat mentarbiayah diri, keluarga dan masyarakat. amin!


Monday, May 11, 2009

Ziarah Ayah dan Takim

27 April 2009

Malam ini saya membawa Widad bermalam bersama ibunya di Hotel MITC. Kebetulan roommate Ummu Widad balik ke rumah ibunya di Sungai Rambai. Sebenarnya saya standby menerima panggilan daripada Takim kerana dia bersama ayah dalam perjalanan menaiki bas dari Terengganu ke Melaka. Akhirnya seawal jam 4.40 pagi, mereka dah sampai di Melaka Sentral. Sempat mandi lebih kurang dan bergegas menjemput ayah dan Takim di MS yang mengambil masa kira-kira 15 minit perjalanan.

Alhamdulillah, saya cium tangan ayah dan bawa mereka ke rumah abang Yah di Durian Tunggal. Selesai Solat Subuh berjemaah, saya bergegas ke MITC Hotel mengambil Widad yang masih mamai dan panik mungkin tidak faham ke mana dia diangkut dan dibawa pagi-pagi buta begini.

Jadual saya pada setiap hari Isnin memang dicemburui. Tiada kelas sampai ke petang. Biasanya saya manfaatkannya dengan menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh, melayari internet dan mengemas tempat peribadi demi mengekalkan persijilan 5S yang baru sahaja dikecapi oleh Politeknik Merlimau. Alhamdulillah politeknik ini adalah yang pertama mendapat persijilan tersebut. Selepas ini entah berapa S lagi yang mahu dikejar..apa-apa pun setiap kakitangan dapat t-shirt percuma. Saya dapat 2 helai ( termasuk Ummu Widad punya haha )

Setelah selesai buat-buat sibuk di pejabat, saya terus bergegas ke rumah abang Yah. Saya bercadang mengajak mereka bersarapan bersama di luar tetapi abang Yah yang baru sahaja menamatkan syif malamnya telah membeli nasi lemak dan roti canai. Alhamdulillah rezeki kami..

Sebenarnya kehadiran ayah dan Takim ke Melaka kerana ada sedikit masalah di Bukit Besi. Pian sebelum ini ada membeli kereta kancil terpakai di atas nama abang Yah. Tetapi disebabkan perniagaan Pian agak merosot teruk jadi dia gagal membuat pembayaran sehingga tertunggak 5 bulan. Sebelum ini kereta tersebut pernah ditarik oleh pihak bank. Hasil perbincangan abang Yah dengan pihak bank, mereka setuju untuk membuat re-finance di atas nama ayah dan mengulangkan kadar pembiayaan bulanan dan saya bercadang untuk menjadi penjamin ayah.

Kami berurusan di CIMB Banda Hilir. Kami gagal membuat re-finance dan dinasihatkan membuat re-scedule pinjaman agar dapat dikurangkan bayaran bulanan. Walaupun begitu, tempoh pembiyaan yang dilanjutkan amat merugikan. Bukan sahaja kadar peratusan pembiayaan meningkat malah kadar bayaran bulanan amat sedikit perbezaannya. Saya serahkan hal ini kepada Abang Yah kerana tak larat lagi kepala ini nak memikirkannya. Dan agak terkilan ada ’orang’ yang begitu mudah lepas tangan.
Kami rancang untuk makan mee rebus di perjalanan pulang tetapi kedai yang dikatakan terkenal oleh Abang Yah itu masih tutup. Kami buat keputusan untuk makan tengahari di Pantai Klebang sambil menikmati pemandangan pasir yang memutih menutup persisiran pantai yang sebelum ini menjadi tarikan utama pengunjung ke situ. Apa yang saya tahu, projek lebuh raya persisir pantai sedang berjalan. Kesian memikirkan nasib nelayan, penangguk udang dan peniaga yang selama ini mencari makan di situ. Kami makan sambil cerita hal-hal di Terengganu. Takim dan ayah pula kelihatan asyik bercerita sambil berkongsi rokok Saat yang agak pelik itu. Kotak-kotak rokok di pasaran penuh dengan gambar-gambar penyakit akibat merokok tetapi di kotak rokok Saat itu kelihatan gambar pemandangan indah. Pelik!

Selesai makan saya terlena di rumah abang yah. Oleh kerana sudah tidak sempat pulang ke Merlimau sebelum 5 petang, saya sms Ust Firdaus supaya mengetik kad pulang saya di pejabat. Selesai makan nasi ayam Singapura yang dibeli bungkus oleh abang yah, saya mengajak ayah dan Takim ke Merlimau mengambil Widad. Saya ajak mereka melawat rumah baru yang masih belum diterima kuncinya. Singgah sekejap di rumah sewa untuk mengambil nota kelas Bahasa Arab malam ini dan terus menghantar Widad ke MITC Hotel. Mujurlah Ummu Widad lapang malam ini.

Selesai menghantar ayah di Melaka Sentral, saya bergegas ke Akrab.. hari yang meletihkan tapi agak bermakna dapat meraikan ayah dan Takim.

Xifu Nasir 1

Ahad 26 April 2009

Hari ini hari Ahad. Hari yang khas untuk rehat-rehat, santai-santai dan bangun lewat. Tapi tidak bagi saya sekarang. Hari ini saya ada seminar penting untuk dihadiri. Rasa tak sedap hati juga meminta Kak Salwa menjaga Widad pada hari Ahad. Suaminya macam terkejut tengok kehadiran kereta saya pada hari itu. Rasanya sudah diberitahu semalam yang saya terpaksa juga menghantar Widad pada hari Ahad. Bukan setiap Ahad cuma pada tarikh-tarikh tertentu. Kalau Ummu Widad tidak berkursus tak menjadi masalah.

Sebelum ke Akrab, saya singgah minum kopi supaya tidak mengantuk dalam seminar nanti. Ini seminar pertama yang bertajuk LEARN ARABIC BY LOGIC (LABL) yang akan dikelolakan oleh Xifu Nasir. Saya tak pernah berjumpa beliau, Cuma sempat melihat kelibat beliau ketika saya menjadi pengerusi majlis Konvensyen Sunnah di UNIKL dahulu. Berpandukan gambar dan kisah beliau yang pernah saya baca di Majalah i, saya dapat mengecamnya di tengah-tengah ratusan manusia.

Setakat yang saya tahu, beliau seorang Cina yang mendapat hidayah lalu memeluk agama Islam ketika menuntut di sebuah universiti di London. Setelah bergelar Muslim, beliau berazam untuk menguasai Bahasa Arab lalu menukar jurusan di School Of Oriental & African Studies di London Universiti. Di situ beliau didedahkan dengan kaedah belajar Bahasa Arab berpandukan logik. Oleh kerana saya tak berpeluang ke sana untuk mempelajarinya maka saya laburkan RM370 untuk mengikuti kursus ini selama 5 sesi insyaallah moga-moga saya dapat menguasai kaedah ini dan memantapkan penguasaan bahasa Arab saya.

Agak menarik gaya penyampaian beliau. Inilah kali pertama saya belajar bahasa Arab dari ustaz yang bercakap seperti Cina jual insurans. Loghat Cina yang masih pekat tetapi fasih sekali makhraj arabnya menyebabkan kelas ini berjalan dengan penuh keceriaan. Banyak kaedah-kaedah baru dapat difahami dan contoh-contoh yang agak luar biasa hebatnya. Contoh : wazan ’fa’ , ’ain’ dan ’lam’ dijadikan abdul fa, abdul ain dan abdul lam. Ketiga-tiga abdul tadi pula kadang kala memakai eksesori-eksesori tertentu sehingga membentuk wazan yang lain pula. Dan dintara contoh yang menarik juaga ialah tiga Abdul ini memakai baju berhuruf hijaiah yang berbeza seperti abdul fa ( zal ), abdul ain ( ha) dan abdul lam ( ba) untuk membentuk kalimah ”za-ha-ba”. Ini di antara analogi yang menarik yang bagus dijadikan salah satu kaedah pengajaran nahu kepada pelajar agar mudah memahami bahasa Arab.

Saya jadi insaf akan kesungguhan kaum kafir yang mengkaji dan mendalami Islam dalam usaha mereka merosakkan ajaran wahyu ini akhirnya lahir pelbagai kaedah dan method yang dapat dimanfaatkan oleh kaum Muslimin.

Untuk sesi seminar yang akan datang, Xifu mencadangkan agar setiap kami membeli sebuah Kamus Arab-English JM Cowan yang bernilai RM350 untuk memudahkan memahami modul kerana ia disusun berpandukan kamus tersebut. Terkejut juga mendengar harganya. Mujur ada alternatif kerana kami dimaklumkan ada edisi cetak rompak keluaran Pustaka Mukmin yang bernilai RM39 – RM60. alhamdulillah tapi agak terkilan juga Pustaka Mukmin mencetak rompak karya orang Barat! Tak dapat dibayangkan sekiranya penerbit kamus tersebut di UK menyaman sebuah syarikat di Malaysia yang bernama Pustaka Mukmin kerana merompak hasil terbitan mereka..kamus ini memang bagus kerana ia tidak manjakan pengguna. Setiap kalimah yang dicari perlu dirujuk pada kod tertentu dan merujuk pada diagram khas untuk mencari wazannya. Agak perlu bekerja lebih untuk memahami sesuatu kalimah. Tetapi agak mudah juga kerana kalimah muannas akan ditanda dengan huruf ”f” yang bermaksud feminine. Mudah untuk memahami kalimah muannas ma’nawi yang akan keliru bagi saya kerana tiada huruf ta marbuthoh dihujungnya.

Seorang sahabat saya, Faiz pengurus Bank Islam Jasin turut mengikuti seminar ini bersama isterinya. Isteri akhi Razmi juga turut serta. Saya pernah mengajak rakan sejawatan di pejabat untuk mengikuti seminar LABL ini. Tapi agak hampa kerana dia bukan sahaja menolak malah mengatakan xifu adalah orientalis dan digelar ’azaazil’ di UIA kerana mengajar fatwa-fatwa yang pelik dan pernah bermain gitar di dalam kelas sebagai kaedah menghafal matan arbaiin. Tentang main gitar saya pun kurang setuju tetapi saya bertanya pada dia apa yang dikatakan fatwa pelik xifu..
Mereka berkata xifu pernah mengatakan khinzir selain dagingnya adalah halal kerana tiada dalilnya. Dalil haramnya cuma dagingnya! Dan fatwa yang dianggap pelik oleh mereka lagi berkaitan dengan orang Kafir masuk Islam tak perlu tukar nama bapaknya, perlu dikekalkan dan tak perlu tukar kepada nama ’Abdullah’..

Fatwa ini mungkin pelik bagi sesetengah orang. Tapi bagi pengkaji ilmu bagi saya ia suatu usaha pembudayaan ilmu yang cukup bagus. Perkara ini bukan perkara baru. Tentang hal khinzir tersebut pernah disentuh oleh Ibnu Hazm al-Andalusi pengasas mazhab zohiri dalam kitab al-Muhalla. Beliau berpegang kepada zahir dalil yang hanya menyebut dagingnya dan bukan selainnya. Tentang kenajisan babi juga banyak khilafnya, Imam an-Nawawi yang bermazhab Syafie juga tidak bersetuju dengan mazhabnya yang mengklaskan khinzir dalam kategori Mughollazoh iaitu najis berat kerana hasil qias dengan hukum anjing. Dan tentang tukar nama bapak setelah memeluk Islam juga pernah disinggung oleh Tuan Guru Nik Aziz dan seterusnya dipopularkan kembali oleh Dr Asri semasa memegang jawatan mufti Perlis sehingga menjadi isu nasional! Ada benarnya fatwa tersebut, mana mungkin si kafir yang memeluk Islam wajib dihilangkan nama bapaknya sehingga tidak lagi dikenali nama nasabnya. Itulah yang terjadi sekiranya semuanya dibinkan kepada Abdullah. Sahabat-sahabat Nabi Radhiyaallahu anhom juga menunjukkan contoh yang terbaik dalam hal ini. Saidina Umar al-Khattab nama yang dikenali semasa jahiliah dan Islam adalah nama yang sama. Tidak pernah rasulullah SAW memaksa mereka menukar nama bapaknya. Begitu juga Ikrimah bin Abu Jahal yang beriman kepada kerasulan Nabi masih mengekalkan namanya dan terbukti sekali dalam sanad-sanad hadis masih dikekalkan nama bapaknya yang dilaknat.

Saya tak berminat membicarakan soal ini dengan panjang lebar. Sesiapa saja harus kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah sekiranya timbul keraguan dan kekhilafan sesama mereka. Tidak molek menghukum tanpa ilmu dan sentimen semata-mata kerana kejahilan kita sendiri. Memang hal tersebut akan menimbulkan polemik tetapi sekiranya ia dibincangkan di kelas-kelas pengajian di institusi pengajian tinggi, ia sesuatu yang berada di dalam wilayah keilmuan dan bukannya di tadika atau di surau-surau kampung yang barangkali selesa belajar thoharoh bertahun-tahun sampai relai isi kitab. Semoga Allah membimbing kita menjadi orang yang senantiasa menegakkan keadilan. Islam itu agama ilmu dan bukannya agama yang ditegakkan atas dasar fikiran dangkal manusia semata-mata.

Pesta Buku Antarabangsa 2009

Sabtu 25 April 2009

Hari ini saya ponteng lagi kelas Durus ‘Arabiyah fi Toriq al-Hadith semata-mata mengambil kesempatan akhir untuk menghadiri Pesta Buku Antarabangsa di PWTC yang akan berakhir esok.

Singgah sekejap di gerai membeli pau dan terus ke rumah Kak Salwa untuk menghantar Widad. Kasihan pula melihat Widad terpaksa menghabiskan hujung minggu bersama pengasuh. Esok pula saya akan menghadiri kursus Learn Arabic By Logic oleh Xifu Nasir dari pagi sampai ke petang..sabarlah ye Widad

Semalam saya dimaklumkan bas Politeknik akan bergerak jam 7.45 pagi. Tapi bayang bas pun tak kelihatan lagi. Rupa-rupanya perjalanan ditangguh jam 8.30 pagi. Alhamdulillah sempat juga bersarapan dulu. Ustaz Faizal, Ustaz Firdaus dan empat lagi pensyarah perempuan turut serta mengiringi dua puluh orang pelajar kamsis ( kampus siswa ) ke PWTC.

Kalau tidak silap saya inilah kali pertama saya menjejakkan kaki di PWTC ini. Berduyung-duyung manusia dalam pelbagai sifat datang memenuhi PWTC yang kelihatan sesak dan sempit itu. Tapi saya tak tahulah mereka datang untuk tengok buku atau tengok orang!

Saya terlihat seseorang yang agak dikenali ramai terkenal dalam bidang dakwah dan penulisan, seseorang yang selalu saya ziarahi blognya, seseorang yang tak mungkin kenal saya tapi saya kenal keluarga dan latar belakangnya..dialah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil sohibul www.saifulislam.com. Beliau tengah membuat kupasan buku tulisannya mungkin, buku terbarunya ”BERCINTA HINGGA KE SYURGA” dan ”RINDU BAU BUAH TIN”. Tajuk yang hebat dan kandungannya juga hebat tapi saya menangguhkan dulu untuk membelinya kerana kandungannya telah saya baca dalam blognya.

Mata dan hati saya agak tetarik untuk singgah di Gerai TELAGA BIRU. setelah puas membelek buku-buku yang dipamerkan, saya membeli 3 buah buku. Sebuah buku tulisan Khalid Ali Muhammad al-Anbary bertajuk ”SISTEM POLITIK ISLAM MENURUT AL-QURAN, AL-HADIS DAN PENDAPAT ULAMA SALAF”. Agak mahal harganya tetapi kualiti buku dan ilmu di dalamnya buat saya tutup mata. 2 buah buku lagi tulisan Ustaz Abdul Rahman Mohamed iaitu ”TRAVELOG SEORANG DA’I” dan ”KAEDAH MENDIDIK ISTERI DAN ANAK”. Saya tertarik untuk memiliki buku ini kerana penulisnya sebenarnya. Saya pernah membaca buku tulisannya sebelum ini iaitu buku ”PELIK TAPI BENAR DALAM SOLAT”. Buku yang pelik kandungannya bagi mereka yang tidak memahami as-sunnah. Buku yang amat pelik bagi mereka yang muqallid buta. Buku yang pelik bangat bagi mereka yang tidak mengkaji ilmu dan jahil. Buku tersebut sangat bagus bagi saya, setiap perbuatan ”pelik” dalam solat disertakan hadis sohih sebagai hujah dan dalilnya. Begitulah sifat islam yang tulen, mudah dan fleksibel. Tidak seperti sesetengah buku fikah yang tidak berpandukan kepada nas, penuh dengan peraturan dan syarat yang pelik-pelik serta menyusahkan. Akhirnya hilanglah ketulenan agama dan manusia mula benci pada agama hasil jenayah ilmiah manusia yang tidak bertanggungjawab terhadap ajaran Muhammad SAW! Begitulah nasib buku ”PELIK TAPI BENAR DALAM SOLAT”. Akhirnya buku ini diharamkan oleh KDN dengan alasan-alasan yang agak bodoh sehingga Ust Zahazan dan Dr. Asri membantah pengharaman tersebut. Agak ”pelik” tindakan KDN mengharamkan buku agama tetapi membiarkan Majalah Mangga yang selalu mempamerkan ”buah mangga” orang Islam terus di pasaran tanpa apa-apa sekatan.

Ustaz Faizal yang turut bersama-sama saya di gerai Telaga Biru memborong sakan buku-buku di situ. Dan penuh bakulnya kaset-kaset ceramah yang dijual murah. Ust Firdaus pula tak membeli apa-apa lagi, mungkin tengah memikirkan nasib pasukan bola sepak kesayangannya iaitu Kelantan yang akan ”menggomo” pasukan Selangor di Stadium Bukit Jalil malam nanti.

Saya singgah sebentar di gerai Pustaka Islamiyah. Buku-buku terbitan Pustaka Nasional cetakan lama dengan harga RM2.00 setiap satu amat menarik hati. Tanpa membuang masa terus saya memilih buku berpandukan kepada pengarang dan tajuk. Akhirnya 12 buah buku sudah berada di genggaman. Buku-buku karangan Syed Ahmad Semait, Syekh Mutawalli Sya’rawi, Ibnu Taimiyyah, Prof Dr Ahmad Shalaby, Abdullah Nasih Ulwan, Imam al-Ghazali dan Abu Hassan Nadwi menjadi pilihan. Ust Firdaus turut membeli beberapa buah buku.

Tangan terasa pedih dan lenguh membawa buku-buku yang dibeli. Baru 2 buah gerai dah tak cukup tangan nak borong buku. Banyak lagi gerai yang mahu disinggah. Akhirnya saya dan ust Faizal bergilir-gilir menjaga buku. Seorang tolong jaga seorang lagi pusing-pusing tengok buku. Agak lucu melihat seorang budak melaungkan talbiah seperti jemaah haji di tengah-tengah kesesakan manusia yang hampir tidak mampu berjalan dek kerana ramainya manusia. Alangkah bagus kalau rumah-rumah Allah dan majlis-majlis ilmu, manusia datang berbondong-bondong seperti ini..apa boleh buat, syurga itu mahal tapi buku-buku ini murah..





Thursday, April 23, 2009

Kembali Setelah Lama Menyepi....

Maha Suci Allah..

Segala Puji Bagi Allah..

Allah Maha Besar..


Sembilan bulan berlalu..

akhirnya hari ini saya berada di perkarangan tempat parking kereta Ancasa Hotel MITC Ayer Keroh. berada dalam Kenari sambil mengadap netbook acer aspire one yang baru dibeli di Merlimau petang tadi, Alhamdulillah..


Kenapa saya di sini? panjang jawapan dan alasannya kerana cerita Abu Widad ini dah terputus sanad dan matannya hampir sembilan bulan.. mungkin dulu saat ini saya sedang mengadap periuk sambil menunggu air kelapa pandan menggelegak untuk dimasukkan gula dan jelly powder. mungkin juga Ummu Widad yang sentiasa rajin itu sedang menolong menyusun bekas-bekas plastik ( bekas dadih ) di atas meja.


itulah kenangan lama yang banyak mengajar erti kesusahan hidup sesetengah orang yang bergelar usahawan. walaupun ada usahawan yang berjaya menjadi jutawan, Allah tak izinkan saya mengecapinya setakat ini. Allah ada perancangan, saya pun ada perancangan tetapi iradah Allah mengatasi segala-galanya mengatasi keterbatasan hamba-Nya yang lemah ini.


sekarang saya berkhidmat sebagai Pensyarah di Jabatan Pengajian Am, Politeknik Merlimau. Mengajar subjek Pendidikan Islam, Tamadun Islam dan Moral. dibebankan lagi dengan tugas-tugas sampingan yang agak memenatkan. ditambah lagi dengan kerja-kerja dokumentasi mengikut piawaian ISO dan 5S yang agak merumitkan bagi seorang graduan seperti saya yang telah empat tahun bekerja sendiri tanpa protokol dan piawaian kerja yang ketat.


Atas kesedaran yang agak lambat untuk memantapkan ilmu di dada..saya memenuhkan jadual sepanjang minggu dengan mengikuti kursus intensif Bahasa Arab di AKRAB. Isnin malam kelas Nahu wa Saraf menuntut dengan Ust Abdul Jalil yang berkelulusan daripada Jordan. Rabu malam pula mengikuti kelas Harfiah al-Quran bersama Ust Nordin bekas pelajar Pondok Kuala Pilah. Sabtu pagi pula mengikuti kelas Arab bersama Ust Najib yang berpengalaman hampir 11 tahun di bumi Syam. termasuklah pagi Ahad bersama-sama akhi Razmi menadah kitab Pengajian Hadis di Kampung Brisu bersama Ustaz Muhammad Yatim dan Ustaz Minhat. dan saya sendiri diamahkan menyampaikan kuliah Maghrib setiap Selasa malam di Pusat Islam Politeknik membedah kitab Haqiqot at-Tawhid yang dikarang oleh Dr Yusuf al-Qaradhawy.


tidak dapat dinafikan program saya sepanjang minggu ini memang merampas harta, masa, tenaga dan saat-saat bersama keluarga. tetapi saya yakin ia pelaburan yang bermakna dunia dan akhirat insyaallah. cuma agak terkilan dengan pengurusan masa peribadi dan kerja yang bertimbun-timbun menyebabkan banyak perkara menjadi kelam kabut. insyaallah diharap setelah berpindah ke rumah baru nanti keadaan akan menjadi semakin baik. Moga Allah bimbing kami selalu..


kembali kepada cerita awal tadi, sebenarnya Ummu Widad sedang mengikuti kursus induksi selama dua minggu di hotel ini. saya datang sekali sekala membawa Widad dan membawa barang-barang keperluan Ummu Widad. biasanya roomate Ummu Widad bermalam di rumah ibunya di Sungai Rambai, tetapi malam ini tak jadi bermalam di sana katanya. terpaksalah berada di dalam kereta, mujurlah ada laptop yang sudi jadi peneman..


Setakat hari ini alhamdulillah kami menempuh keadaan yang amat berbeza..sepanjang blog ini menempuh "eddah" yang panjang, berikut adalah perkara yang berlaku dalam kehidupan kami :


SAYA


1. Saya bertugas sebagai pensyarah di Politeknik

2. Diamanahkan sebagai Penolong Pegawai Kualiti ( ISO ) jabatan, Pegawai Multimedia Jabatan dan editor BULETIN JPA yang dikeluarkan 2 kali sebulan.

3. Saya dapat sahabat-sahabat baru

4. Banyak habiskan duit untuk baju kemeja dan seluar slack untuk bekerja. juga baju batik..

5. bergaji bulanan RM2417.20 ( alhamdulillah )

6. Kembali semula dengan gelaran "Ustaz"

7. dilantik sebagai Ketua Lujnah Keilmuan di dalam Organisasi IBH ( Institut Ibnu Hajar : NGO Sunnah bagi Negeri Melaka)

8. Ayah dan suami yang masih kelam kabut dan huru hara!!


UMMU WIDAD


1. Masih anggun seperti dulu cuma makin "berisi" mungkin letih layan Widad yang makin agresif dan aktif.

2. telah membuat pinjaman perumahan untuk rumah pertama kami dengan Bank Islam di Taman Muhibbah. Semi D yang bernilai RM177 XXX. Tidak layak lagi untuk memohon pinjaman kerajaan kerana masih baru dalam perkhidmatan. apatah lagi saya!!


WIDAD KAMILAH


1. Telah berusia 1 tahun 1 bulan

2. Sudah boleh berjalan

3. Sudah boleh melafazkan "Allahu akbar" sambil takbiratul ihram, bersedekap dan kumat kamit mulut meniru perbuatan ayahnya yang selalu menjadi objek kegemaran ketika solat di rumah. Alhamdulillah..

4. suka menonton TV terutama melihat gelagat duckling iklan DIGI dan UPIN dan IPIN..

5. sekarang dijaga oleh Kak Salwa di Taman Debunga yang lemah lembut setelah berpindah dari dua Nursery yang bermasalah..


"Robbana hablana