Saturday, August 29, 2009

KISAH SAYA BERSAMA AL QURAN


Di bulan yang mulia ini, saya berazam untuk khatam bacaan al-Quran. Satu ibadah mulia yang tidak pernah saya berjaya laksanakannya kecuali ketika saya dalam proses menduduki peperiksaan SPM pada tahun 1999 sempat juga saya khatam bacaan al-Quran dengan merangkak-rangkak dan bersusah payah.

Sejarah pembelajaran al-Quran saya begitu menyedihkan. Bermula di Pekan Ajil ketika itu berumur 6 tahun berguru al-Quran dengan Pak Imam bersama Abang Pian. Terlalu nakal dan banyak main-main sehingga tidak dapat menguasai al-Quran dengan baik. Main sorok-sorok, bergaduh, berebut rehal dan jadi mangsa buli budak-budak besar lebih dominan ketika itu. Yang saya dapat adalah percaya kepada kawan-kawan yang mengatakan gambarajah ‘pengacip’ berbentuk mulut dan bergigi serta berlidah di dalam halaman pendahuluan al-Quran itu adalah alatan yang akan digunakan oleh malaikat untuk memotong lidah sesiapa yang suka berbohong di dunia. Setelah sekian lama, barulah tahu bahawa gambar itu sebenarnya adalah gambarajah sebutan makhraj huruf-huruf hijaaiyyah di dalam membaca al-Quran. Cis tak guna punya kawan-kawan rupanya penipu!

Setelah pak imam meninggal, ayah menghantar kami ke rumah seorang nenek yang mengajar al-Quran. Rumahnya terletak betul-betul di belakang kilang perabot rotan. Abang Pian pula selalu bergaduh dengan cucunya dan kami selalu digertak dengan rotan nenek yang barangkali di’supply’ oleh cucunya.

Di tadika pula, saya tidak dapat pendedahan tentang ilmu-ilmu al-Quran kerana sibuk menyanyi, melukis dan menghafal pantun. Jadi, hantarlah anak-anak anda ke tadika KEMAS supaya bernasib malang seperti saya!

Setelah berpindah ke Batu Enam, kami belajar mengaji dengan ma ( emak ) dan ayah di surau. Ketika itu beberapa orang anak kakitangan Jabatan Perhutanan turut serta mengaji bersama-sama kami. Biasalah, bila belajar dengan ma dan ayah kami jadi tak bersungguh. Asyik mengaji cepat-cepat kerana takut terlepas rancangan kartun di TV dan sekali sekala menjadi ‘hantu’ mengusik anak-anak jiran yang sentiasa takut melalui jirat Cina di belakang kuartes.

Saya bersekolah di SK Tok Jiring ketika itu. Di sekolah saya memang takut subjek Pendidikan Islam terutama ketika diminta membaca al-Quran. Dalam masa yang sama saya buta jawi. Pernah saya didenda dengan teruk kerana membaca doa qunut yang ditulis dalam tulisan roman kerana tak boleh membaca dalam tulisan arab. Subjek yang paling teruk keputusannya adalah pendidikan Islam.

Setelah 2 tahun, kami berpindah ke Panji Alam. Di situ kami belajar mengaji al-Quran dengan seorang ustaz berhampiran rumah kami. Ramai kanak-kanak yang sebaya kami belajar mengaji dengannya. Entah di mana silapnya, abang Pian sering diejek dengan panggilan ’kepala besar’ oleh budak-budak nakal di situ. Akhirnya kesabarannya hilang dan pulang ke rumah mengambil badik ( sejenis senjata melayu lama seperti keris ) kepunyaan ayah dan mengamuk di rumah ustaz tersebut. Semua orang menjadi kelam kabut. Ada yang terjun dari beranda dan ada yang berasak masuk ke rumah ustaz. Saya hanya duduk dan memerhatikan apa yang berlaku seperti wartawan perang. Sejak peristiwa itu, kami terus bertukar guru mengaji.

Akhirnya seorang nenek yang mengajar al-Quran dapat dikesan di hujung kampung di tepi sebuah padang. Kami berdua pun mengaji di situ walaupun tidak selesa dengan angsa-angsa nenek tersebut yang seolah-olah selalu membuat pakatan menyudu kaki kami. Bila musim hujan pula, rumah nenek tersebut akan banjir dan kami terpaksa mengharungi air banjir paras peha untuk pergi mengaji. Jodoh kami tak lama, kami berpindah pula ke Dungun.

Semasa di Dungun, saya hanya belajar mengaji dengan ma. Pada waktu ini, saya sudah mula mengenal huruf dan boleh membaca al-Quran serta menulis jawi. Setelah itu, kami berpindah pula ke Bukit Besi. Di sinilah saya mula dapat membaca al-Quran dengan agak lancar tetapi masih lemah dalam tajwid. Saya berguru dengan seorang pakcik dan seterusnya dengan seorang kakak.

Akhirnya saya tamat sekolah rendah dan masuk ke sekolah menengah serta tinggal di asrama. Di asrama SMK Durian Mas inilah, saya terdedah kepada bacaan Yaasin setiap malam Jumaat. Saya hairan dan kagum melihat kawan-kawan membaca Yaasin dengan lancar dan ada juga yang menghafalnya. Setelah beberapa ketika, saya juga boleh membaca Yaasin dengan lancar. Dalam masa yang sama, saya suka menghafal surah-surah yang ada ’fadhilat-fadhilat’ tertentu dan doa-doa. Sebab itulah saya selalu dipilih menjadi imam kerana menghafal surah dan doa-doa yang panjang.

Saya cuba mendalami ilmu tajwid dan menyertai beberapa pertandingan menghafal al-Quran mewakili sekolah. Ketika ini saya masih merangkak membaca al-Quran tetapi lancar membaca surah-surah yang dihafal. Walaupun belum khatam membaca al-Quran, saya menyertai Majlis Khatam al-Quran yang diadakan di Bukit Besi anjuran UMNO. Saya masih ingat ADUN Bukit Besi, YB Ust Awang Jabar berucap :

” Lebih baik tuan-tuan baca al-Quran daripada buang masa baca HARAKAH..!”

Pada waktu tersebut, saya mendapat sijil tapi masih belum khatam al-Quran. Akhirnya saya bertekad membaca al-Quran sehingga khatam dan alhamdulillah berjaya sebelum menduduki peperiksaan SPM.

Selepas tamat sekolah menengah, saya berhijrah ke Melaka dan tinggal bersama abang Yah. Ketika itu saya masih ingat saya menghadiri temuduga kerja sebagai operator di Kilang Komputer LIKOM. Waktu itu adalah bulan Ramadhan. Saya bekerja bersungguh-sungguh untuk mengumpul duit. Masuk kerja pukul 7.00 pagi sehingga 5.00 petang. Buat OT sampai 7.00 pagi dan masuk kerja semula pukul 3.00 petang. Waktu ini memang tak kesempatan membaca al-Quran. Cuma saya kagum melihat pekerja-pekerja dari Bangladesh yang selalu mengisi masa lapang mereka dengan membaca al-Quran. Pada hujung minggu pula, saya dan abang Yah biasanya pergi memancing atau menghadiri seminar AMWAY. Begitulah berlalu hampir 8 bulan tanpa berdamping dengan al-Quran.

Di universiti pula, mujurlah di antara subjek wajib jabatan ialah al-Quran wal hifzuh di mana subjek ini memerlukan saya menghafal surah-surah tertentu dan kemahiran menulis ayat-ayat al-Quran. Alhamdulillah subjek ini diwajibkan untuk 2 semester dan banyak manfaat daripada subjek ini. Tetapi saya agak janggal dengan cara pensyarah yang meminta kami ’tasmi’ di dalam kelas di hadapan pelajar muslimah. Tetapi pelajar muslimah di bilik pensyarah. Malu dan bimbang juga sekiranya tersasul semasa tasmi’ boleh jatuh saham kami hehehe!

Saya menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan semasa di universiti. Penyertaan saya ini memerlukan komitmen penuh dan tidak sempat untuk mengambil manfaat daripada program-program lain yang dijalankan seperti kelas tahfiz al-Quran atau kelas tajwid oleh JIM. Semasa usrah PKPIM pun sempatlah juga tasmi’ bacaan bersama rakan-rakan.

4 tahun berlalu dan saya berjaya menamatkan pengajian dan mendapat segulung ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan Pengajian Islam. Sijil yang melayakkan seseorang dipanggil ’ustaz’. Tetapi agak malang kerana ilmu al-Quran dan ilmu-ilmu lain masih belum mantap.

Kesedaran menuntut ilmu dan mendalami teks-teks agama mula timbul setelah tamat pengajian di universiti. Saya mengambil keputusan menolak penempatan sebagai guru agama di sekolah menengah dan meneruskan perjuangan yang masih samar-samar. Bekerja sebagai perunding YPEIM yang agak lumayan komisen dan masa lapangnya membuatkan kami beruntung dapat mengisinya dengan majlis-majlis ilmu. Semangat saya untuk mendalami ilmu-ilmu al-Quran dan Hadis terus meningkat apabila kami mengikuti pengajian ilmu-ilmu Islam di Institut Ibnu Qayyim.

Di sinilah bermulanya semangat beramal dengan ilmu. Mengikuti kuliah kitab-kitab mu’tabar secara talaqqi seperti Riyadh as-Sholihin karya Imam Nawawi, Shahih Bukhari, Shahih Muslim, Muwatta’ Imam Malik dan sebagainya. Saya merasa diri begitu kerdil sebagai pemegang ijazah agama tetapi masih belum dapat menguasai ilmu-ilmu Islam dengan baik. Di sini, saya dapat berkenalan dengan beberapa orang profesional yang berazam tinggi belajar agama. Di antara mereka ada yang menyambung pelajaran ke Yaman dan Jordan walaupun tidak pernah belajar di sekolah agama. Saya yang mengambil subjek bahasa arab selama 9 tahun pun masih bodoh bahasa Arab.

Setelah berumahtangga, saya masih belum dapat menunaikan impian saya iaitu menghafal keseluruh ayat-ayat al-Quran. Lebih malang lagi, ayat-ayat yang telah dihafal pun beransur-ansur hilang. Hambatan tugas, kerja dan komitmen kerjaya serta keluarga menyebabkan banyak masa tidak dapat digunakan untuk menghafal al-Quran. Saya selalu berdoa agar diberi kekuatan untuk menghafal ayat-ayat Allah. Bermunajat supaya Allah mengukir kalam-Nya di dalam hati dan tidak pernah lupa bacaannya. Semoga amanah besar itu dapat menghalang kita dari dosa dan noda.

”Ya Allah di bulan Ramadhan ini moga Engkau jadikan aku, isteriku dan anakku generasi al-Quran dan pelaksananya..amin”

Menurut Abdullah bin ’Amru r.a, nabi s.a.w telah bersabda :

”Dikatakan kepada pembaca dan pengamal isi al-Quran: Baca dan perbaikilah serta tartilkan lagi bacaan kamu ( di dalam syurga ini ) sebagaimana kamu membacanyadengan baik di dunia dahulu. Sesungguhnya kedudukan kamu bergantung kepada bilangan ayat terakhir yang kamu baca ( dan amalkan ).”
( Hadis Hasan Sahih Riwayat Abu Daud )

Daripada Aishah r.a, Nabi s.a.w telah bersabda :

“Perumpamaan orang yang membaca al-Quran dan menjaga tajwid serta beramal dengan isi kandungannya akan bersama safaratil kiram al-bararah. Manakala perumpamaan orang yang membaca al-Quran dan bersungguh-sungguh walaupun menghadapi kesukaran baginya dua ganjaran.” ( HR Bukari )

Menurut Abdullah bin Mas’ud r.a, Nabi s.a.w telah bersabda :

“Seburuk-buruk perkara ialah seseorang berkata : aku telah lupa ayat itu dan ini sedangkan sebenarnya dia telah dilupakan. Oleh itu, berusaha keraslah untuk mengingati al-quran kerana ia lebih cepat terlepas lari ( lupa ) daripada diri kamu berbanding binatang ternakan ( terlepas ).” ( Muttafaqun alaihi )

Tuesday, August 25, 2009

Catatan 5 Ramadhan


Masak?

Hari ini sudah masuk hari ke 5 kami berpuasa. semuanya istimewa walau sederhana. berbuka di rumah sahaja menikmati masakan ummu widad. macam-macam resepi dari 'kitab kuning' dicubanya untuk kami bertiga. Alhamdulillah berselera juga walaupun masakan tanpa nama. Rasanya boleh juga diberi nama masakan campak2 rasa hehe..

Saya memang minat memasak. Dulu semasa habis SPM, saya bekerja di LIKOM Melaka dan tinggal bersama abang Yah yang ketika itu isterinya tinggal di Terengganu. masa inilah saya mengasah bakat memasak. dibimbing oleh abang Mail ( Mail Kerbau ) salah seorang jiran dan kawan baik abang Yah sejak di IKM lagi. Dia memang pakar dalam memasak. semasa di UTM pula, saya masuk pertandingan memasak di peringkat kolej dan mengalahkan berbelas peserta perempuan dengan masakan 'Mee Sup Cendawan Cina'..pertandingan anjuran Indo Mee dan Petronas itu memang lumayan hadiahnya sehingga seminggu baru habis dibelasah hampernya.

Tapi..sekarang rasa malas sungguh nak memasak. mungkin kepala terlalu banyak fikir tentang perkara lain jadi kurang mood nak pegang periuk dan senduk.

Apa ni..?

Hari ini agak mengejutkan..pihak PMM mencalonkan beberapa staf bahagian akademik dan sokongan akademik untuk diundi secara online sebagai Best Of Employee. Terkejut beruk tengok nama sendiri dicalonkan dan mendapat undian tertinggi setakat ini iaitu hampir 30 %!!

Malu rasanya..jasa tak banyak, onar ada sikit-sikit tapi dapat pencalonan dan undian pula. terpulanglah, yang penting ini bukan matlamat saya. Matlamat saya sampaikan ilmu kepada semua warga PMM dan ajak mereka kembali menghayati al-Quran dan as-sunnah.

Wallahu a'lam

Saturday, August 22, 2009

Ahlan wa Sahlan Ya Romadhon


Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda : ”Setiap amal anak Adam dilipatgandakan, kebaikan diganjari sepuluh kali ganda yang sepadan dengannya hingga sampai seratus kali ganda, bahkan hingga sampai kepada apa yang Allah kehendaki. Allah Azza wa Jalla berfirman : kecuali puasa, karena sesungguhnya puasa itu untukku dan Aku sendirilah yang akan membalasnya. Ia meninggalkan syahwat dan makannya hanya karena Aku. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, yaitu kegembiraan tatkala ia berbuka dan kegembiraan tatkala ia bertemu dengan Rabb-nya. Sungguh bau mulut seorang yang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi Alloh dibandingkan harumnya kesturi.” [muttafaq ’alaihi]

Begitulah sabda Rasulullah saw sebagai berita gembira kepada seluruh kaum muslimin agar benar-benar bersyukur dan menghargai Ramadhan pada setiap tahun. Ramadhan bertemu Ramadhan, begitulah kisah saya di Melaka. Melapor diri sebagai pensyarah pada Ramadhan 1429 dan kini telah tiba Ramadhan 1430..alhamdulillah..

Saya berharap Ramadhan kali ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk beribadah dan beramal soleh. Sebelum ini, pernah saya menempuh Ramadhan sebagai peniaga pasar malam dan pengurus kiosk Strawberry Chocolate di Seremban. Tidak dapat dinafikan betapa sibuknya sepanjang hari menempuh Ramadhan dengan kerja-kerja dan tugas-tugas yang tidak sedikit masa dan tenaga diperlukan untuk menyempurnakannya. Waktu itu, ummu Widad sedang mengandung anak sulung dan lebih banyak menghabiskan masa sepanjang hari sehingga malam di Flat Seroja.

Semoga Ramadhan tahun ini lebih bermakna..

Semalam saya bertarawikh di Bangunan CNI Batu Berendam bersama sahabat-sahabat IBH dan jawatankuasa Tahfiz. Saya melaungkan azan kemudian kami diimamkan oleh Ustaz Minghat dan seterusnya melaksanakan tarawikh 8 rakaat dengan 2 salam. Seterusnya kami meneruskan mesyuarat jawatankuasa tahfiz sehingga pukul 1200 malam.

Sebelum Ramadhan tiba, saya menerima sms dari adik di Terengganu bahawa Ayah Ngah telah meninggal di Hospital Dungun. Ayah Ngah selama ini mengidap penyakit jantung dan kencing manis sering kali keluar dan masuk hospital. Banyak kenangan saya bersama Ayah Ngah. beliau seorang guru bahasa Inggeris, lemah lembut dan suka berjenaka. Semasa saya kecil, selalu saya menghabiskan masa cuti sekolah di rumahnya. Berkawan dengan anak-anaknya dan menolongnya mengecat kipas atau apa-apa sahaja tugas khas yang sememangnya dipakari oleh anak-anak Pak Long ( gelaran ayah saya). Jika ada kelapangan, beliau selalu mengajar saya perkataan-perkataan bahasa Inggeris, salah satu perkataan yang saya masih ingat dan kali pertama mengetahuinya melalui beliau ialah perkataan "catwalk".. Allah lebih sayang kepadanya dan semoga Allah menempatkan beliau bersama-sama hambanya yang soleh.

Amin..