Saturday, August 22, 2009

Ahlan wa Sahlan Ya Romadhon


Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda : ”Setiap amal anak Adam dilipatgandakan, kebaikan diganjari sepuluh kali ganda yang sepadan dengannya hingga sampai seratus kali ganda, bahkan hingga sampai kepada apa yang Allah kehendaki. Allah Azza wa Jalla berfirman : kecuali puasa, karena sesungguhnya puasa itu untukku dan Aku sendirilah yang akan membalasnya. Ia meninggalkan syahwat dan makannya hanya karena Aku. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, yaitu kegembiraan tatkala ia berbuka dan kegembiraan tatkala ia bertemu dengan Rabb-nya. Sungguh bau mulut seorang yang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi Alloh dibandingkan harumnya kesturi.” [muttafaq ’alaihi]

Begitulah sabda Rasulullah saw sebagai berita gembira kepada seluruh kaum muslimin agar benar-benar bersyukur dan menghargai Ramadhan pada setiap tahun. Ramadhan bertemu Ramadhan, begitulah kisah saya di Melaka. Melapor diri sebagai pensyarah pada Ramadhan 1429 dan kini telah tiba Ramadhan 1430..alhamdulillah..

Saya berharap Ramadhan kali ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk beribadah dan beramal soleh. Sebelum ini, pernah saya menempuh Ramadhan sebagai peniaga pasar malam dan pengurus kiosk Strawberry Chocolate di Seremban. Tidak dapat dinafikan betapa sibuknya sepanjang hari menempuh Ramadhan dengan kerja-kerja dan tugas-tugas yang tidak sedikit masa dan tenaga diperlukan untuk menyempurnakannya. Waktu itu, ummu Widad sedang mengandung anak sulung dan lebih banyak menghabiskan masa sepanjang hari sehingga malam di Flat Seroja.

Semoga Ramadhan tahun ini lebih bermakna..

Semalam saya bertarawikh di Bangunan CNI Batu Berendam bersama sahabat-sahabat IBH dan jawatankuasa Tahfiz. Saya melaungkan azan kemudian kami diimamkan oleh Ustaz Minghat dan seterusnya melaksanakan tarawikh 8 rakaat dengan 2 salam. Seterusnya kami meneruskan mesyuarat jawatankuasa tahfiz sehingga pukul 1200 malam.

Sebelum Ramadhan tiba, saya menerima sms dari adik di Terengganu bahawa Ayah Ngah telah meninggal di Hospital Dungun. Ayah Ngah selama ini mengidap penyakit jantung dan kencing manis sering kali keluar dan masuk hospital. Banyak kenangan saya bersama Ayah Ngah. beliau seorang guru bahasa Inggeris, lemah lembut dan suka berjenaka. Semasa saya kecil, selalu saya menghabiskan masa cuti sekolah di rumahnya. Berkawan dengan anak-anaknya dan menolongnya mengecat kipas atau apa-apa sahaja tugas khas yang sememangnya dipakari oleh anak-anak Pak Long ( gelaran ayah saya). Jika ada kelapangan, beliau selalu mengajar saya perkataan-perkataan bahasa Inggeris, salah satu perkataan yang saya masih ingat dan kali pertama mengetahuinya melalui beliau ialah perkataan "catwalk".. Allah lebih sayang kepadanya dan semoga Allah menempatkan beliau bersama-sama hambanya yang soleh.

Amin..

No comments: