Monday, June 15, 2009

Hijrah


Alhamdulillah..

Sejak saya kecil sampai sekarang, hidup kami sekeluarga sentiasa berpindah randah. Ayah bekerja sebagai Pegawai Perhutanan Negeri Terengganu sentiasa diarahkan berpindah dari satu post ke post yang lain. Sebab itulah saya ramai kawan dan boleh berbangga dengan senarai sekolah rendah yang bersusun.

Daripada Pekan Ajil - Batu Enam ( 1989 SK Tok Jiring ) - Panji Alam ( 1990 SK Seri Budiman ) - Nibong Stesen ( 1991 SK Bandar Dungun ) - Bukit Besi ( 1994 SK Bukit Besi ). Sehingga semasa Darjah 6 saya sendiri datang sendiri mendaftar untuk diri sendiri ke SK Bukit Besi.

Semasa belajar di UTM, saya hanya dua kali berpindah dari Kolej Siswa Desa Skudai ( KSDS - Kolej Luar ) ke Kolej Tun Razak di dalam kampus utama. Setelah tamat pengajian dan bertekad menolak tawaran mengajar di SMK Tedong Melaka, saya bersama sahabat-sahabat menyewa di rumah kedai di Taman Universiti. di situlah rumah dan di situlah juga pejabat operasi Taklimat YPEIM di Johor. Setelah banyak masalah yang timbul, kami menyewa di rumah Ust Arief Rosman di Taman Pulai. Rumah yang besar dan selesa untuk tiga orang bujang.

Setelah kami mendapat 'tender' untuk menjalankan projek YPEIM di Kedah, kami berpindah ke Alor Setar dan menyewa sebuah rumah di Jalan Pegawai. alhamdulillah kenangan di sinilah paling manis dan banyak 'tragedi tanpa berdarah' berlaku yang mengeratkan hubungan sesama kami. setelah mendapat banyak temujanji di selatan Kedah dan utara Pulau Pinang, kami berpecah dua dan saya bersama Riduan, Razi dan Wan Deris berpindah dan menyewa di Sungai Petani. Tuan rumah yang sentiasa datang memaksa kami membayar sewa di pertengahan bulan seolah-olah takut kami lari menyebabkan kami lari sungguh ke rumah baru. menyewa di rumah baru agak selesa walaupun agak kekok dengan jiran yang seolah-olah buat kami macam 'kadam'. tolong hantar anak ke pasar malam, pinjam rumah untuk saudara mara jemputan majlis kahwin sehingga hampir hancur rumah dan banyak lagi 'gangguan-gangguan' terhadap anak teruna yang baik hati ini.

Setelah Projek YPeim agak slow, kami menceburi bidang yang agak asing bagi kami iaitu mengurus kiosk Strawberry Chocolate di Tesco Penang. Projek ini diperkenalkan oleh GMR Food & Beverages di KL. Oleh kerana sentiasa keletihan mengurus kiosk dari 9pg-11mlm dan menempuh jalan pergi dan pulang sejauh 100km menyebabkan saya dan Riduan mengambil keputusan berpindah ke sebuah apartment di belakang USM. Tajudin dan Anam masih meneruskan sisa-sisa projek YPEIM yang ada. Setelah beberapa bulan, kiosk baru dibuka di Jusco Seremban 2. Saya berpindah ke Seremban kerana diberi amanah untuk menguruskan segala projek GMR di Negeri Minang itu. lagipun agak dekat dengan isteri yang masih menuntut di UTM Skudai. GMR Delight didaftarkan di Seremban.

Kami menyewa di Taman Alamanda, Senawang. setelah isteri saya menamatkan pengajian, saya berpindah ke Apartment Seroja dengan sewa RM200 sebulan. di sinilah bermulanya kehidupan kami berdua. selama ini sewa dibayar oleh GMR dan sekarang barulah terasa bayar sewa guna gaji sendiri. Tidak lama kami di situ, isteri mendapat penempatan mengajar di Politeknik Merlimau, Melaka.

Isteri berpindah ke sebuah rumah taman di Seri Pulai dengan sewa RM150. Tinggal bersama pensyarah yang sama sekelas di UTM. saya risau juga kerana isteri tengah mengandung ketika itu. Setelah berbincang dengan Anam dan Tajudin, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke Melaka dan meletak jawatan sebagai Pengurus GMR Delight. Di Melaka, kami tinggal buat sementara di Taman Seri Pulai dan berpindah ke Taman Seri Serkam dengan sewa RM230 sebulan.

akhirnya kami membuat keputusan membeli rumah di Taman Muhibbah fasa 10 semi D di Merlimau dan pada 30 May 2009 kami dengan rasminya berpindah ke rumah kami sendiri setelah letih berpindah randah sepanjang hidup. moga di sinilah bermulanya segala kebaikan dan dari sini juga lahirnya pembela-pembela ajaran Quran dan sunnah. Semoga rumah ini menjadi pusat mentarbiayah diri, keluarga dan masyarakat. amin!


No comments: