Monday, May 11, 2009

Ziarah Ayah dan Takim

27 April 2009

Malam ini saya membawa Widad bermalam bersama ibunya di Hotel MITC. Kebetulan roommate Ummu Widad balik ke rumah ibunya di Sungai Rambai. Sebenarnya saya standby menerima panggilan daripada Takim kerana dia bersama ayah dalam perjalanan menaiki bas dari Terengganu ke Melaka. Akhirnya seawal jam 4.40 pagi, mereka dah sampai di Melaka Sentral. Sempat mandi lebih kurang dan bergegas menjemput ayah dan Takim di MS yang mengambil masa kira-kira 15 minit perjalanan.

Alhamdulillah, saya cium tangan ayah dan bawa mereka ke rumah abang Yah di Durian Tunggal. Selesai Solat Subuh berjemaah, saya bergegas ke MITC Hotel mengambil Widad yang masih mamai dan panik mungkin tidak faham ke mana dia diangkut dan dibawa pagi-pagi buta begini.

Jadual saya pada setiap hari Isnin memang dicemburui. Tiada kelas sampai ke petang. Biasanya saya manfaatkannya dengan menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh, melayari internet dan mengemas tempat peribadi demi mengekalkan persijilan 5S yang baru sahaja dikecapi oleh Politeknik Merlimau. Alhamdulillah politeknik ini adalah yang pertama mendapat persijilan tersebut. Selepas ini entah berapa S lagi yang mahu dikejar..apa-apa pun setiap kakitangan dapat t-shirt percuma. Saya dapat 2 helai ( termasuk Ummu Widad punya haha )

Setelah selesai buat-buat sibuk di pejabat, saya terus bergegas ke rumah abang Yah. Saya bercadang mengajak mereka bersarapan bersama di luar tetapi abang Yah yang baru sahaja menamatkan syif malamnya telah membeli nasi lemak dan roti canai. Alhamdulillah rezeki kami..

Sebenarnya kehadiran ayah dan Takim ke Melaka kerana ada sedikit masalah di Bukit Besi. Pian sebelum ini ada membeli kereta kancil terpakai di atas nama abang Yah. Tetapi disebabkan perniagaan Pian agak merosot teruk jadi dia gagal membuat pembayaran sehingga tertunggak 5 bulan. Sebelum ini kereta tersebut pernah ditarik oleh pihak bank. Hasil perbincangan abang Yah dengan pihak bank, mereka setuju untuk membuat re-finance di atas nama ayah dan mengulangkan kadar pembiayaan bulanan dan saya bercadang untuk menjadi penjamin ayah.

Kami berurusan di CIMB Banda Hilir. Kami gagal membuat re-finance dan dinasihatkan membuat re-scedule pinjaman agar dapat dikurangkan bayaran bulanan. Walaupun begitu, tempoh pembiyaan yang dilanjutkan amat merugikan. Bukan sahaja kadar peratusan pembiayaan meningkat malah kadar bayaran bulanan amat sedikit perbezaannya. Saya serahkan hal ini kepada Abang Yah kerana tak larat lagi kepala ini nak memikirkannya. Dan agak terkilan ada ’orang’ yang begitu mudah lepas tangan.
Kami rancang untuk makan mee rebus di perjalanan pulang tetapi kedai yang dikatakan terkenal oleh Abang Yah itu masih tutup. Kami buat keputusan untuk makan tengahari di Pantai Klebang sambil menikmati pemandangan pasir yang memutih menutup persisiran pantai yang sebelum ini menjadi tarikan utama pengunjung ke situ. Apa yang saya tahu, projek lebuh raya persisir pantai sedang berjalan. Kesian memikirkan nasib nelayan, penangguk udang dan peniaga yang selama ini mencari makan di situ. Kami makan sambil cerita hal-hal di Terengganu. Takim dan ayah pula kelihatan asyik bercerita sambil berkongsi rokok Saat yang agak pelik itu. Kotak-kotak rokok di pasaran penuh dengan gambar-gambar penyakit akibat merokok tetapi di kotak rokok Saat itu kelihatan gambar pemandangan indah. Pelik!

Selesai makan saya terlena di rumah abang yah. Oleh kerana sudah tidak sempat pulang ke Merlimau sebelum 5 petang, saya sms Ust Firdaus supaya mengetik kad pulang saya di pejabat. Selesai makan nasi ayam Singapura yang dibeli bungkus oleh abang yah, saya mengajak ayah dan Takim ke Merlimau mengambil Widad. Saya ajak mereka melawat rumah baru yang masih belum diterima kuncinya. Singgah sekejap di rumah sewa untuk mengambil nota kelas Bahasa Arab malam ini dan terus menghantar Widad ke MITC Hotel. Mujurlah Ummu Widad lapang malam ini.

Selesai menghantar ayah di Melaka Sentral, saya bergegas ke Akrab.. hari yang meletihkan tapi agak bermakna dapat meraikan ayah dan Takim.

No comments: