Monday, May 11, 2009

Xifu Nasir 1

Ahad 26 April 2009

Hari ini hari Ahad. Hari yang khas untuk rehat-rehat, santai-santai dan bangun lewat. Tapi tidak bagi saya sekarang. Hari ini saya ada seminar penting untuk dihadiri. Rasa tak sedap hati juga meminta Kak Salwa menjaga Widad pada hari Ahad. Suaminya macam terkejut tengok kehadiran kereta saya pada hari itu. Rasanya sudah diberitahu semalam yang saya terpaksa juga menghantar Widad pada hari Ahad. Bukan setiap Ahad cuma pada tarikh-tarikh tertentu. Kalau Ummu Widad tidak berkursus tak menjadi masalah.

Sebelum ke Akrab, saya singgah minum kopi supaya tidak mengantuk dalam seminar nanti. Ini seminar pertama yang bertajuk LEARN ARABIC BY LOGIC (LABL) yang akan dikelolakan oleh Xifu Nasir. Saya tak pernah berjumpa beliau, Cuma sempat melihat kelibat beliau ketika saya menjadi pengerusi majlis Konvensyen Sunnah di UNIKL dahulu. Berpandukan gambar dan kisah beliau yang pernah saya baca di Majalah i, saya dapat mengecamnya di tengah-tengah ratusan manusia.

Setakat yang saya tahu, beliau seorang Cina yang mendapat hidayah lalu memeluk agama Islam ketika menuntut di sebuah universiti di London. Setelah bergelar Muslim, beliau berazam untuk menguasai Bahasa Arab lalu menukar jurusan di School Of Oriental & African Studies di London Universiti. Di situ beliau didedahkan dengan kaedah belajar Bahasa Arab berpandukan logik. Oleh kerana saya tak berpeluang ke sana untuk mempelajarinya maka saya laburkan RM370 untuk mengikuti kursus ini selama 5 sesi insyaallah moga-moga saya dapat menguasai kaedah ini dan memantapkan penguasaan bahasa Arab saya.

Agak menarik gaya penyampaian beliau. Inilah kali pertama saya belajar bahasa Arab dari ustaz yang bercakap seperti Cina jual insurans. Loghat Cina yang masih pekat tetapi fasih sekali makhraj arabnya menyebabkan kelas ini berjalan dengan penuh keceriaan. Banyak kaedah-kaedah baru dapat difahami dan contoh-contoh yang agak luar biasa hebatnya. Contoh : wazan ’fa’ , ’ain’ dan ’lam’ dijadikan abdul fa, abdul ain dan abdul lam. Ketiga-tiga abdul tadi pula kadang kala memakai eksesori-eksesori tertentu sehingga membentuk wazan yang lain pula. Dan dintara contoh yang menarik juaga ialah tiga Abdul ini memakai baju berhuruf hijaiah yang berbeza seperti abdul fa ( zal ), abdul ain ( ha) dan abdul lam ( ba) untuk membentuk kalimah ”za-ha-ba”. Ini di antara analogi yang menarik yang bagus dijadikan salah satu kaedah pengajaran nahu kepada pelajar agar mudah memahami bahasa Arab.

Saya jadi insaf akan kesungguhan kaum kafir yang mengkaji dan mendalami Islam dalam usaha mereka merosakkan ajaran wahyu ini akhirnya lahir pelbagai kaedah dan method yang dapat dimanfaatkan oleh kaum Muslimin.

Untuk sesi seminar yang akan datang, Xifu mencadangkan agar setiap kami membeli sebuah Kamus Arab-English JM Cowan yang bernilai RM350 untuk memudahkan memahami modul kerana ia disusun berpandukan kamus tersebut. Terkejut juga mendengar harganya. Mujur ada alternatif kerana kami dimaklumkan ada edisi cetak rompak keluaran Pustaka Mukmin yang bernilai RM39 – RM60. alhamdulillah tapi agak terkilan juga Pustaka Mukmin mencetak rompak karya orang Barat! Tak dapat dibayangkan sekiranya penerbit kamus tersebut di UK menyaman sebuah syarikat di Malaysia yang bernama Pustaka Mukmin kerana merompak hasil terbitan mereka..kamus ini memang bagus kerana ia tidak manjakan pengguna. Setiap kalimah yang dicari perlu dirujuk pada kod tertentu dan merujuk pada diagram khas untuk mencari wazannya. Agak perlu bekerja lebih untuk memahami sesuatu kalimah. Tetapi agak mudah juga kerana kalimah muannas akan ditanda dengan huruf ”f” yang bermaksud feminine. Mudah untuk memahami kalimah muannas ma’nawi yang akan keliru bagi saya kerana tiada huruf ta marbuthoh dihujungnya.

Seorang sahabat saya, Faiz pengurus Bank Islam Jasin turut mengikuti seminar ini bersama isterinya. Isteri akhi Razmi juga turut serta. Saya pernah mengajak rakan sejawatan di pejabat untuk mengikuti seminar LABL ini. Tapi agak hampa kerana dia bukan sahaja menolak malah mengatakan xifu adalah orientalis dan digelar ’azaazil’ di UIA kerana mengajar fatwa-fatwa yang pelik dan pernah bermain gitar di dalam kelas sebagai kaedah menghafal matan arbaiin. Tentang main gitar saya pun kurang setuju tetapi saya bertanya pada dia apa yang dikatakan fatwa pelik xifu..
Mereka berkata xifu pernah mengatakan khinzir selain dagingnya adalah halal kerana tiada dalilnya. Dalil haramnya cuma dagingnya! Dan fatwa yang dianggap pelik oleh mereka lagi berkaitan dengan orang Kafir masuk Islam tak perlu tukar nama bapaknya, perlu dikekalkan dan tak perlu tukar kepada nama ’Abdullah’..

Fatwa ini mungkin pelik bagi sesetengah orang. Tapi bagi pengkaji ilmu bagi saya ia suatu usaha pembudayaan ilmu yang cukup bagus. Perkara ini bukan perkara baru. Tentang hal khinzir tersebut pernah disentuh oleh Ibnu Hazm al-Andalusi pengasas mazhab zohiri dalam kitab al-Muhalla. Beliau berpegang kepada zahir dalil yang hanya menyebut dagingnya dan bukan selainnya. Tentang kenajisan babi juga banyak khilafnya, Imam an-Nawawi yang bermazhab Syafie juga tidak bersetuju dengan mazhabnya yang mengklaskan khinzir dalam kategori Mughollazoh iaitu najis berat kerana hasil qias dengan hukum anjing. Dan tentang tukar nama bapak setelah memeluk Islam juga pernah disinggung oleh Tuan Guru Nik Aziz dan seterusnya dipopularkan kembali oleh Dr Asri semasa memegang jawatan mufti Perlis sehingga menjadi isu nasional! Ada benarnya fatwa tersebut, mana mungkin si kafir yang memeluk Islam wajib dihilangkan nama bapaknya sehingga tidak lagi dikenali nama nasabnya. Itulah yang terjadi sekiranya semuanya dibinkan kepada Abdullah. Sahabat-sahabat Nabi Radhiyaallahu anhom juga menunjukkan contoh yang terbaik dalam hal ini. Saidina Umar al-Khattab nama yang dikenali semasa jahiliah dan Islam adalah nama yang sama. Tidak pernah rasulullah SAW memaksa mereka menukar nama bapaknya. Begitu juga Ikrimah bin Abu Jahal yang beriman kepada kerasulan Nabi masih mengekalkan namanya dan terbukti sekali dalam sanad-sanad hadis masih dikekalkan nama bapaknya yang dilaknat.

Saya tak berminat membicarakan soal ini dengan panjang lebar. Sesiapa saja harus kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah sekiranya timbul keraguan dan kekhilafan sesama mereka. Tidak molek menghukum tanpa ilmu dan sentimen semata-mata kerana kejahilan kita sendiri. Memang hal tersebut akan menimbulkan polemik tetapi sekiranya ia dibincangkan di kelas-kelas pengajian di institusi pengajian tinggi, ia sesuatu yang berada di dalam wilayah keilmuan dan bukannya di tadika atau di surau-surau kampung yang barangkali selesa belajar thoharoh bertahun-tahun sampai relai isi kitab. Semoga Allah membimbing kita menjadi orang yang senantiasa menegakkan keadilan. Islam itu agama ilmu dan bukannya agama yang ditegakkan atas dasar fikiran dangkal manusia semata-mata.

No comments: