Monday, May 11, 2009

Pesta Buku Antarabangsa 2009

Sabtu 25 April 2009

Hari ini saya ponteng lagi kelas Durus ‘Arabiyah fi Toriq al-Hadith semata-mata mengambil kesempatan akhir untuk menghadiri Pesta Buku Antarabangsa di PWTC yang akan berakhir esok.

Singgah sekejap di gerai membeli pau dan terus ke rumah Kak Salwa untuk menghantar Widad. Kasihan pula melihat Widad terpaksa menghabiskan hujung minggu bersama pengasuh. Esok pula saya akan menghadiri kursus Learn Arabic By Logic oleh Xifu Nasir dari pagi sampai ke petang..sabarlah ye Widad

Semalam saya dimaklumkan bas Politeknik akan bergerak jam 7.45 pagi. Tapi bayang bas pun tak kelihatan lagi. Rupa-rupanya perjalanan ditangguh jam 8.30 pagi. Alhamdulillah sempat juga bersarapan dulu. Ustaz Faizal, Ustaz Firdaus dan empat lagi pensyarah perempuan turut serta mengiringi dua puluh orang pelajar kamsis ( kampus siswa ) ke PWTC.

Kalau tidak silap saya inilah kali pertama saya menjejakkan kaki di PWTC ini. Berduyung-duyung manusia dalam pelbagai sifat datang memenuhi PWTC yang kelihatan sesak dan sempit itu. Tapi saya tak tahulah mereka datang untuk tengok buku atau tengok orang!

Saya terlihat seseorang yang agak dikenali ramai terkenal dalam bidang dakwah dan penulisan, seseorang yang selalu saya ziarahi blognya, seseorang yang tak mungkin kenal saya tapi saya kenal keluarga dan latar belakangnya..dialah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil sohibul www.saifulislam.com. Beliau tengah membuat kupasan buku tulisannya mungkin, buku terbarunya ”BERCINTA HINGGA KE SYURGA” dan ”RINDU BAU BUAH TIN”. Tajuk yang hebat dan kandungannya juga hebat tapi saya menangguhkan dulu untuk membelinya kerana kandungannya telah saya baca dalam blognya.

Mata dan hati saya agak tetarik untuk singgah di Gerai TELAGA BIRU. setelah puas membelek buku-buku yang dipamerkan, saya membeli 3 buah buku. Sebuah buku tulisan Khalid Ali Muhammad al-Anbary bertajuk ”SISTEM POLITIK ISLAM MENURUT AL-QURAN, AL-HADIS DAN PENDAPAT ULAMA SALAF”. Agak mahal harganya tetapi kualiti buku dan ilmu di dalamnya buat saya tutup mata. 2 buah buku lagi tulisan Ustaz Abdul Rahman Mohamed iaitu ”TRAVELOG SEORANG DA’I” dan ”KAEDAH MENDIDIK ISTERI DAN ANAK”. Saya tertarik untuk memiliki buku ini kerana penulisnya sebenarnya. Saya pernah membaca buku tulisannya sebelum ini iaitu buku ”PELIK TAPI BENAR DALAM SOLAT”. Buku yang pelik kandungannya bagi mereka yang tidak memahami as-sunnah. Buku yang amat pelik bagi mereka yang muqallid buta. Buku yang pelik bangat bagi mereka yang tidak mengkaji ilmu dan jahil. Buku tersebut sangat bagus bagi saya, setiap perbuatan ”pelik” dalam solat disertakan hadis sohih sebagai hujah dan dalilnya. Begitulah sifat islam yang tulen, mudah dan fleksibel. Tidak seperti sesetengah buku fikah yang tidak berpandukan kepada nas, penuh dengan peraturan dan syarat yang pelik-pelik serta menyusahkan. Akhirnya hilanglah ketulenan agama dan manusia mula benci pada agama hasil jenayah ilmiah manusia yang tidak bertanggungjawab terhadap ajaran Muhammad SAW! Begitulah nasib buku ”PELIK TAPI BENAR DALAM SOLAT”. Akhirnya buku ini diharamkan oleh KDN dengan alasan-alasan yang agak bodoh sehingga Ust Zahazan dan Dr. Asri membantah pengharaman tersebut. Agak ”pelik” tindakan KDN mengharamkan buku agama tetapi membiarkan Majalah Mangga yang selalu mempamerkan ”buah mangga” orang Islam terus di pasaran tanpa apa-apa sekatan.

Ustaz Faizal yang turut bersama-sama saya di gerai Telaga Biru memborong sakan buku-buku di situ. Dan penuh bakulnya kaset-kaset ceramah yang dijual murah. Ust Firdaus pula tak membeli apa-apa lagi, mungkin tengah memikirkan nasib pasukan bola sepak kesayangannya iaitu Kelantan yang akan ”menggomo” pasukan Selangor di Stadium Bukit Jalil malam nanti.

Saya singgah sebentar di gerai Pustaka Islamiyah. Buku-buku terbitan Pustaka Nasional cetakan lama dengan harga RM2.00 setiap satu amat menarik hati. Tanpa membuang masa terus saya memilih buku berpandukan kepada pengarang dan tajuk. Akhirnya 12 buah buku sudah berada di genggaman. Buku-buku karangan Syed Ahmad Semait, Syekh Mutawalli Sya’rawi, Ibnu Taimiyyah, Prof Dr Ahmad Shalaby, Abdullah Nasih Ulwan, Imam al-Ghazali dan Abu Hassan Nadwi menjadi pilihan. Ust Firdaus turut membeli beberapa buah buku.

Tangan terasa pedih dan lenguh membawa buku-buku yang dibeli. Baru 2 buah gerai dah tak cukup tangan nak borong buku. Banyak lagi gerai yang mahu disinggah. Akhirnya saya dan ust Faizal bergilir-gilir menjaga buku. Seorang tolong jaga seorang lagi pusing-pusing tengok buku. Agak lucu melihat seorang budak melaungkan talbiah seperti jemaah haji di tengah-tengah kesesakan manusia yang hampir tidak mampu berjalan dek kerana ramainya manusia. Alangkah bagus kalau rumah-rumah Allah dan majlis-majlis ilmu, manusia datang berbondong-bondong seperti ini..apa boleh buat, syurga itu mahal tapi buku-buku ini murah..





No comments: