Monday, July 28, 2008

Tuhan, manusia dan peristiwa

Alhamdulillah ; Segala Puji Bagi Allah! Satu kalimah pendek dan ringan di lidah tapi jarang terpancul berbanding ayat-ayat jelek yang selalu menjadi zikir. Umpat, keji, mencarut dan bohong macam dah terpahat di lidah, moga Allah mengampuni dosa-dosa kita.

Agak lama jari tidak mengetuk keyboard buatan china ni. Sebenarnya banyak perkara berlaku melibatkan aku, manusia lain dan alam sepanjang jari ini bercuti. Bercuti bukan dek malas tapi banyak masalah-masalah ringan yang berjaya dikumpul dengan baik sekali dan akhirnya hampir pecah serebrum dibuatnya.

Masalah menginsafi kita sebagai manusia yang tidak bersifat seperti Tuhan Yang Maha Sempurna. Masalah juga mengheret kita kepada Tuhan dan ada juga yang pergi kepada setan. Bergantung kepada iman dan faham kita samada perlu mencari bimbingan Tuhan atau setan yang menyesatkan. Dan kebanyakan manusia memilih jalan yang sesat kerana segalanya diperindahkan oleh syaitan supaya jalan yang manusia ambil itu tampak indah dan enak. Dan manusia yang dibimbing Tuhannya akan sentiasa memilih jalan yang betul walaupun pahit, berliku-liku dan jauh perjalanannya. Itulah janji Allah kepada mereka yang sentiasa menghubungkan diri mereka kepada-Nya mengikut apa yang termaktub di dalam Kalam-Nya dan Sunnah Rasul-Nya.

Tuhan, manusia dan peristiwa. Itulah yang berlaku sebenarnya. Temuduga jawatan pensyarah politeknik, harga minyak melambung, kenduri Huda di Dungun, Program Sifat Solat Nabi di UNIKL, ayah datang dari kampung, cukai jalan mati, Program tajhiz janazah, kes liwat Anwar, Mubahalah, debat Anwar dengan Sabry dan terbaru muzakarah PAS dan UMNO. Ini di antara perkara-perkara yang berlaku sejak jari ini bercuti. Ada yang sangat bermanfaat, menginsafkan dan ada juga yang buat aku resah, gelisah dan menyampah. Semuanya bermain-main di kepala dan menyebabkan tiga uban dah tumbuh di kepala.

Jujur aku katakan sekarang ini kami sekeluarga menghadapi krisis kewangan yang agak teruk. Jualan jeli agak perlahan. Mungkin kurang Research and development dan faktor hujan yang membuat orang ramai lebih suka menelan apa sahaja yang panas-panas. Gaji ummu widad pula dipotong dua bulan dek kerana cuti bersalin yang lepas masih lagi dalam status ‘tidak sah jawatan’ dan perlu diselesaikan sebelum Disember dengan potongan yang agak tinggi setiap bulan.

Temuduga masih belum ada jawapan. Harga minyak yang naik melambung juga menyebabkan aku bataskan pergerakan sehingga kenduri Huda ( sepupu ) pun tak mampu nak pergi. Hanya kirim hadiah melalui sepupu. Hadiah itu pun sebenarnya diimport daripada koleksi hadiah kami yang berhabuk di bawah katil. Bukan sekadar duit minyak, duit poket dan belanja makan kami bertiga pun cukup-cukup sahaja. Alhamdulillah dalam keadaan ‘kering’ pun masih ada sisa-sisa kekuatan untuk menghadiri Program Sifat Solat Nabi di UNIKL. Banyak ilmu yang dapat dimanfaatkan dan dipanjang-panjangkan. Ada makan percuma lagi. Apatah lagi kedatangan aku bersama-sama panel program yang dijemput khas dari Jabatan Mufti Perlis, Ustaz Khairil Anwar. Selang beberapa hari ayah secara mengejut datang ke Melaka. Katanya nak minta khidmat nasihat tentang masalah geran rumah dan tanah kami yang masih belum selesai sehingga sekarang. Alang-alang boleh ayah tengok Widad sekali. Sejak dilahirkan belum lagi dijenguk keluarga dari Terengganu.

Rumah kami di Bukit Besi sudah selesai dibayar tapi masih belum dapat geran yang sah. Begitu juga dengan tanah kami yang sekangkang kera di Kampung Dendang. Cuma kes tanah ini berbeza sedikit sebab ayah tidak puas hati dengan bayaran pampasan Projek Lebuhraya Pantai Timur dan beberapa isu ‘melayuwiyat’ yang berkaitan dengannya. Sebenarnya masalah ini dah lama. Cuma ayah seorang sahaja yang kepanasan. Pian, ma dan abang Kor dah lama tarik diri dalam kes ini sebab dah tak tahan dengan amukan ayah ke Jabatan Tanah, KETENGAH, rumah YB, rumah Dato’, rumah JKKK, rumah Ketua UMNO dan hampir juga ke istana Sultan. Hampir semua orang di Bukit Besi terasa bahang amukan ayah. Mungkin kerana sudah letih mengamuk di sana, ayah buat keputusan menulis surat kepada Pak Lah dan Anwar Ibrahim! Aku nasihatkan ayah supaya bersabar atas ujian Allah ini. Dan batalkan sahaja rancangan untuk jumpa Pak Lah dan Anwar di Pulau Pinang. Begitulah rancangan ayah. Dapatkan nasihat anak di Melaka yang ala-ala lawyer ni dan terus ke P.Pinang jumpa Pak Lah dan Anwar. Aku cuba batalkan rancangan ayah ini dan nasihatkan ayah supaya buat laporan Polis dan aku taipkan surat aduan ke Badan Pencegah Rasuah Terengganu. Idea ini pun aku curi daripada aksi-aksi orang politik di sekeliling kita yang asyik gila menyaman orang. Akhirnya ayah setuju dan pulang ke Bukit Besi setelah seminggu di Melaka. Walaupun kami tengah pokai dan makan bercatu, alhamdulillah ayah selesa, gembira dan kenyang. Selamat Hari Ayah!!

Begitulah kehidupan. Semuanya disusun Tuhan. Manusia kadang kala lupa akan kuasa Tuhan. Walaupun setiap hari menyembah Tuhan tetapi masih mencari dan mengharap sesama manusia. Ada masalah, terlintas fulan bin fulan yang akan memberi harapan. Adakah kita hanya melantik Allah sebagai Tuhan di dalam solat sahaja? Tetapi kehidupan kita bergantung penuh kepada fulan bin fulan yang hanya hamba-Nya yang tidak mampu membuat apa-apa pun walapun mengenyit mata tanpa izin-Nya. Doalah pada Allah, merayu dan merintihlah kepada-Nya dahulu. Langkah seterusnya barulah berusaha sesama manusia. Itupun dengan tawakal yang penuh kepada-Nya dan bukan kepada hamba-Nya yang lemah.

Aku masih seorang manusia yang sentiasa diperhati Tuhan. Aku mengerti dan sentiasa insafi bahawa masih ada lagi insan yang lebih berat diuji Tuhan. Aku juga selalu memohon bimbingan-Nya supaya sentiasa kekal dalam iman dan dimurahkan rezeki.
Begitulah yang berlaku. Tuhan, manusia dan peristiwa